Friday, June 12, 2015

Malaysia Raih Satu Perak, Dua Gangsa Acara Poomsae

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Skuad taekwondo negara bermula dengan rentak sederhana pada hari pertama acara berkenaan di Sukan SEA 2015 setelah sekadar meraih satu pingat perak dan dua gangsa dalam kategori Poomsae di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura, hari ini.

Pingat perak tunggal Malaysia, disumbangkan oleh Yap Kim Wen dan Kok Jun Ee dalam acara poomsae beregu campuran setelah mereka mengumpul 7.785 mata.

Pingat emas dimenangi pasangan adik beradik dari Vietnam, Nguyen Minh Van dan Nguyen Minh Tu dengan kutipan 7.885 mata, manakala pingat gangsa dikongsi bersama oleh Singapura dan Thailand.

Dua pingat gangsa skuad negara pula diraih oleh Yong Jin Kun menerusi acara individu lelaki selepas mengutip 7.305 mata dan trio dibarisi Yong, Chew Wei Yan dan Jun Ee dalam acara beregu lelaki dengan catatan 7.455 mata.

Yong berkongsi pingat gangsa bersama peserta Kemboja, Phal Sovannat dalam acara individu lelaki manakala trio lelaki negara berkongsi pingat gangsa bersama peserta dari Indonesia.

Berdasarkan format acara berkenaan pada temasya sukan dwitahunan itu, pemenang tempat ketiga dan keempat berkongsi pingat gangsa.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara poomsae individu dan beregu wanita.

Ketika ditemui pemberita, Jun Ee berkata beliau cukup berpuas hati dengan pencapaian pingat perak itu, sambil mengakui peserta dari Vietnam itu beraksi dengan baik.

"Saya cukup gembira memenangi pingat perak pada penampilan sulung di Sukan SEA dan saya berterima kasih kepada jurulatih kerana mempunyai keyakinan terhadap saya, serta Kim Wen yang menggantikan peserta lain untuk bergandingan dengan saya pada saat akhir," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment