Friday, June 12, 2015

Skuad Memanah Negara Mampu Capai Sasaran Raih Tiga Emas - Pengurus

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Pengurus skuad memanah negara, Ibrahim Harun yakin sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mampu dicapai oleh barisan pemanah muda dan berpengalaman negara pada Sukan SEA 2015 di sini.

Ibrahim yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Tentera Laut Diraja Malaysia, menyatakan demikian selepas lima wakil negara berjaya mara ke peringkat akhir acara compound yang dijadual berlangsung di Pusat Kriket Kallang, Ahad ini.

"Sepertimana saya maklumkan sebelum ini, kita hanya meletakkan sasaran tiga pingat emas, namun berdasarkan prestasi semasa atlet negara, secara peribadi saya yakin kita mampu meraih sekurang-kurangnya lima pingat emas," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada saingan hari ketiga acara memanah hari ini, pemanah Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila kesemua wakil negara mengalahkan lawan dalam kategori masing-masing pada saingan separuh akhir.

Pemanah lelaki negara, Zulfadli Ruslan menjadi wakil pertama menempah slot ke final menerusi kemenangan tipis 144-141 ke atas rakan sepasukan, Mohd Juwaidi Mazuki.

Zulfadli dijadual menentang pemanah Vietnam, Nguyen Tien Cuong yang mengalahkan pemanah Indonesia, Saprianto Saprianto 144-142 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Zulfadli dan Mohd Juwaidi kemudian bergandingan bersama Lee Kin Lip untuk membantu Malaysia mengalahkan trio Singapura 231-226 bagi menempah pertemuan final menentang Indonesia yang sebelum itu menang tipis 235 berbalas 230 ke atas Filipina.

Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh meneruskan aksi hebat skuad lelaki apabila menumpaskan wakil Indonesia, Sari Rona Siska 143-137 dalam saingan individu compound.

Beliau yang bergandingan dengan Saritha Cham Nong dan Nor Izah Ishak turut berjaya mengalahkan trio tuan rumah dengan kemenangan 224 berbalas 213 bagi membuat perhitungan dengan Thailand pada aksi final.

Thailand pula mara ke final setelah menang tipis 225 berbalas 224 ke atas Filipina dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Gandingan Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah melengkapkan hari cemerlang skuad memanah Malaysia setelah berjaya mengalahkan pasangan Indonesia, Saprianto Saprianto dan Sari Rona 153-149 dalam acara beregu campuran untuk berdepan Thailand.

Pasangan Thailand, Chanchai Pratheepwatanawong dan Chanchai Kanyavee Maneesombatkul menang 148-145 ke atas Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment