Wednesday, June 17, 2015

Nilai atlet berdasarkan pencapaian – Khairy


CARA berpakaian Farah Ann dalam acara gimnastik yang menampakkan bentuk tubuh seksi menerima kritikan hebat di laman sosial.

SINGAPURA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta semua pihak menilai atlet negara dari segi pencapaian, bukannya perkara-perkara lain termasuk cara berpakaian ketika menyertai acara masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘serangan’ terhadap atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi yang disifatkan sebagai tidak berasas dan mengarut.

“Saya bertanggungjawab menjaga atlet, saya perlu pastikan mereka tidak diserang atau dikecam. Dalam kes ini Farah Ann telah diperlakukan secara tidak adil dan perkara ini sepatutnya tidak berlaku.

“Dia sudah dewasa dan dari segi cara berpakaian saya yakin dia tahu apa yang betul. Jangan kecam atlet, saya kena tidak mengapa. Orang sepatutnya menilai dari aspek persembahan dan prestasi para atlet. Proses pembangunan atlet ini akan terbantut sekiranya ada serangan seperti ini yang akan mengganggu fokus atlet,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Farah Ann yang memenangi dua emas dalam acara gimnastik artistik menjadi kecaman terutama di laman sosial berikutan pakaiannya yang menampakkan bentuk tubuh yang seksi ketika mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, atlet negara tidak berpakaian begitu dalam kehidupan normal mereka. Semua yang diperkatakan itu adalah tuduhan liar dan sepatutnya tidak berlaku.

“Kenapa tidak pula pertikai atlet lelaki, tak banyak saya dengar tetapi isu Farah Ann ini jadi besar, ini adalah hipokrit dan saya tidak boleh bertoleransi. Ini sukan, jangan ganggu kami,” katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan pihak tertentu supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menguatkuasakan garis panduan pakaian atlet, Khairy berkata, beliau menghargai cadangan dikemukakan.

Namun pada masa yang sama, beliau berpendapat atlet sendiri perlu diberi peluang memakai jenis pakaian yang mereka mahu asalkan ia diluluskan oleh badan induk sukan terbabit.

“Saya beritahu ini cuma garis panduan, saya harap tidak timbul lagi kritikan yang membayangi persembahan atlet,” jelasnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment