Wednesday, June 17, 2015

Skuad basikal cemerlang


Memonopoli kategori lelaki dengan menyapu dua emas, satu gangsa daripada tiga acara

SINGAPURA – Seperti sesuatu yang tidak kena pada edisi-edisi sebelum ini apabila skuad berbasikal negara dilihat ‘bergelut’ untuk meraih pingat emas acara lebuh raya sejak Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Situasi berbeza pada Sukan SEA 2015 apabila skuad berbasikal negara gah memonopoli kategori lelaki dengan menyapu dua emas dan satu gangsa daripada tiga acara, manakala wanita sekadar dua gangsa.

Dua emas acara berbasikal lebuh raya itu disumbangkan oleh wira negara, Mohd. Harrif Salleh, 27, dalam kriterium dan lepas beramai-ramai di Marina Bay South, Singapura.

“Kita (Malaysia) sebenarnya kuat dalam acara lebuh raya. Oleh itu, kita tak perlu pun tunggu 10 tahun untuk menang semula pingat emas sejak 2005 dahulu.

“Jika mereka pilih pelumba yang sememangnya sudah serasi bersama, saya rasa tiada masalah buat kita. Ramai pelumba yang banyak beri kejayaan tetapi digugurkan pada saat-saat akhir.

“Bagi saya, pelumba dan PKBM (Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) perlu bersatu dan dengan cara inilah baru kita akan kekal sebagai juara,” kata Harrif yang sering tersisih sejak beberapa edisi lalu.

Pada edisi ke-28 ini, buat pertama kali, skuad berbasikal negara membariskan lima pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dan seorang pelumba kebangsaan (Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi).

Lima pelumba pasukan profesional itu ialah Harrif, Anuar Manan (pemenang pingat gangsa lepas beramai-ramai), Mohd. Zamri Saleh, Muhammad Adiq Husainie Othman dan Mohd. Saiful Anuar Aziz.

Sementara itu, Malaysia hanya membariskan dua pelumba wanita yang mana masing-masing berjaya meraih pingat gangsa iaitu Ju Pha Som Net (kriterium) dan Nurul Suhada Zainal (lepas beramai-ramai).

Sebagai rekod, skuad berbasikal lebuh raya negara sekadar meraih satu pingat perak dan satu gangsa pada temasya Sukan SEA di Myanmar dua tahun lalu.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment