Sunday, June 14, 2015

Memanah recurve berpasukan 
bidik emas hatrik Sukan SEA

Khairul ANUAR MOHAMAD (kanan), Haziq Kamaruddin (tengah) dan Muhamad
KHAIRUL ANUAR MOHAMAD (kanan), Haziq Kamaruddin (tengah) dan Muhamad Ikram Joni meraikan kejayaan memenangi pingat emas recurve berpasukan lelaki di Padang Kriket Kallang, semalam.

SINGAPURA – Malaysia dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum mempertahankan kejuaraan memanah recurve berpasukan lelaki Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut de­ngan menumpaskan Indonesia 5-4 dalam saingan akhir di Lapangan Kriket Kallang, semalam.

Begitupun, hasrat Malaysia untuk menambah dua lagi emas tidak kesampaian selepas tumbang dalam final recurve individu lelaki (Haziq Kamaruddin) dan gandingan Khai­rul Anuar Mohamad-Loke Shin Huin dalam recurve beregu campuran.

Trio Khairul, Haziq dan Muhammad Ikram Joni tidak menerima laluan mudah dalam usaha mempertahankan emas yang dimenangi dalam dua temasya terakhir apabila bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum menang 28-27 di set terakhir untuk mengesahkan kemenangan 5-4.

“Kami bermula perlahan, tetapi sebaik saja berjaya menyamakan mata, keyakinan untuk menang semakin meningkat.

“Kami cuba bertenang dan me­ngurangkan kesilapan,” kata Khai­rul.

Kesilapan pemanah kedua Indonesia, Riau Ega Agata Salsabila pada set ketiga yang sekadar membidik enam mata membuka ruang kepada trio negara menyamakan kedudukan 4-4 dan pada set penentuan, mereka tidak menoleh ke belakang apabila melakukan dua panahan yang menghasilkan 10 serta sembilan mata.

Khairul mengakui, keyakinan Ikram pada mulanya agak rendah, namun pada pertengahan saingan dia mula mendapat rentak, dan da­ripada situ mereka berjaya mengejar Indonesia.

“Pada mulanya, Ikram nampak goyang kerana seperti kurang rasa yakin, namun alhamdulilah dia berjaya bangkit serta membantu kami berjuang sehingga panahan terakhir,” katanya.

Begitupun pada sebelah petang, tiada keceriaan diberikan pemanah negara apabila Khairul dan Shin Hui tewas 1-5 kepada Indonesia, sebelum harapan besar yang disandar kepada Haziq untuk mempertahankan emas individu sejak 2011, tidak kesampaian.

Haziq yang pertama kali beraksi di final individu jelas tidak mampu menandingi pengalaman pemanah Thailand, Witthaya Thamwong apabila kalah 2-6.

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment