Sunday, June 14, 2015

Kemalangan rosakkan impian emas

SINGAPURA – Insiden ke­malangan merencatkan impian skuad berbasikal Malaysia untuk menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA dalam acara lebuhraya wanita apabila sekadar pulang bersama gangsa, semalam.

Pingat gangsa Sukan SEA 2015 itu diraih menerusi Nurul Suhada Zainal dengan catatan masa 2 jam 49 minit 43 saat dalam perlumbaan yang berlangsung di Marina Bay South sejauh 94.5 kilometer itu.

Kemalangan pada 300 meter terakhir telah menyebabkan sandaran utama negara, Ju Pha Som Net tidak dapat beraksi dengan baik kerana basikalnya mengalami kerosakkan ketika mengelak insiden tersebut.

Dia terlepas peluang untuk mengulangi pencapaian terbaik Malaysia dilakukan Nor Azian Alias pada Sukan SEA Manila, 10 tahun lalu.

Nurul Suhada yang pada mula­nya membantu Ju Pha untuk berada di kedudukan terbaik sebelum memecut ke garisan penamat terpaksa bergerak sendiri selepas melihat rakannya mengalami masalah.

Pingat emas menjadi milik pelumba Vietnam, Nguyen Thi That dengan catatan masa 2 jam 49:42s selepas kemenangan pelumba Thailand Jutatip Maneephan dibatalkan pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas pelumba Vietnam itu ketika pecutan ke garisan penamat memaksanya terpaksa berpuas hati dengan perak.

Kata Nurul Suhada, 22 tahun, biarpun sekadar meraih pingat gangsa namun tetap membuatkannya gembira.

“Strategi kami adalah untuk berada dalam kelompok besar ke garisan penamat tapi disebabkan kemalangan yang berlaku kira-kira 300 meter terakhir menjejaskan strategi kami.

“Saya terdengar ada kemalangan di belakang dan Ju Pha pula tersangkut di situ lalu saya membuat keputusan untuk terus memecut namun saya gagal untuk memintas pelumba Vietnam dan Thailand,” katanya sejurus tamat perlumbaan yang penuh dramatik itu.

Ini adalah kali kedua Nurul Suhada menyertai Sukan SEA selepas gagal meraih sebarang pingat di Myanmar. dua tahun lalu.

Sementara itu, bagi Ju Pha yang meraih gangsa dalama acara kriterium wanita kelmarin kecewa dengan nasib malang menimpanya.

“Saya memang kecewa sebab rantai basikal saya jatuh selepas dilanggar sesuatu ketika saya cuba mengelakkan diri daripada kemalangan itu.

“Memang saya yakin untuk mengatasi pelumba Thailand dan Vietnam kerana saya dalam kedudukan terbaik untuk melakukan pecutan terakhir,” katanya yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 daripada 15 pelumba.

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment