Wednesday, June 3, 2015

Malaysia mampu capai sasaran 56 peratus pingat pada Sukan SEA Singapura



SINGAPURA, 2 Jun (Bernama) -- Hanya tinggal tiga hari sahaja sebelum Singapura membuka tirai temasya Sukan SEA ke-28 di sini, Jumaat ini.

Selepas 22 tahun, Singapura kembali semula menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sempena ulang tahun ke-50 negara republik itu tahun ini.

Sejumlah 7,000 atlet serta pegawai dari 11 negara akan mula bersaing dalam 39 jenis sukan yang menawarkan 402 pingat emas.

Malaysia menghantar sebanyak 641 atlet termasuk 292 atlet wanita serta 268 pegawai.

Walaupun temasya Sukan SEA hanya akan bermula secara rasmi, Jumaat ini, namum namun beberapa acara sukan sudah membuka gelanggang dan menawarkan pingat.

Antara sukan yang menawarkan pingat sebelum temasya Sukan SEA dibuka ialah ping pong, renang berirama dan lawan pedang.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara tidak menetapkan jumlah sebenar pingat yang disasarkan sebaliknya hanya meletakkan 56 peratus pingat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada sidang media selepas menyerahkan Jalur Gemilang, berkata tanda aras berkenaan ditetapkan berasaskan kepada pencapaian purata kontinjen negara dalam lima Sukan SEA yang lepas, di mana secara puratanya kontinjen negara berjaya memperolehi 55.6 peratus pingat berbanding bilangan acara yang disertai.

Menurut beliau, sasaran pingat emas tidak dijadikan keutamaan kerana ingin menjadikan Sukan SEA Singapura sebagai temasya pembangunan kerana hampir 50 peratus atlet dalam kontinjen negara adalah atlet pelapis.

Namun, ramai yang berpendapat sasaran dari segi peratusan itu sukar untuk dijangkau.

Kontinjen negara dilihat mampu mencapai sasaran 56 peratus pencapaian pingat itu berdasarkan prestasi semasa atlet dalam acara terjun, renang berirama, hoki lelaki dan wanita, memanah dan ski air.

Pada temasya kali ini kontinjen negara kehilangan beberapa lubuk pingat emas seperti karate dan boling padang, yang tidak pernah menghampakan negara.

Malaysia kehilangan lebih 20 pingat emas ekoran daripada pihak tuan rumah kali ini yang tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.

Walaupun Khairy meletakkan Sukan SEA sebagai 'sukan pembangunan' tetapi prestasi kontinjen negara di temasya-temasya Sukan SEA seringkali diperkatakan akibat pencapaian tidak konsisten.

Tuan rumah Sukan SEA seringkali menjadikan temasya itu memihak kepada mereka dengan mempertandingkan sukan-sukan yang tidak menyebelahi kontinjen negara lain.

Berdasarkan kepada 39 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini, kontinjen berjaya memperolehi 33 pingat emas, 32 perak dan 64 gangsa pada temasya dua tahun lepas di Myanmar dengan acara terjun menjadi penyumbang pingat terbanyak dengan lapan pingat emas.

Secara keseluruhan, kontinjen membawa pulang 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa pada temasya yang tertumpu di pusat pentadbiran baharu negara berkenaan, Naypyitaw.

Pencapaian terbaik kontinjen negara dalam 39 jenis sukan (jenis sukan yang dipertandingkan di Singapura) itu ialah pada 2011 di Indonesia dengan meraih 53 pingat emas, 39 perak dan 55 gangsa dan secara keseluruhan, Malaysia mengumpul 59 emas, 50 perak dan 81 gangsa.

Sukan SEA 2001 pasti terpahat dalam rentetan sejarah penglibatan Malaysia dalam temasya Sukan SEA.

Pada tahun itu, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah dan pencapaian Malaysia amat memberangsangkan dengan 111 pingat emas, 98 perak dan 86 gangsa.

Namun pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur ialah pada 2007 di Korat, Thailand di mana kontinjen negara secara keseluruhan berjaya mengumpul 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment