Wednesday, June 3, 2015

Vietnam aibkan Malaysia 5-1 pada acara Bola Sepak Sukan SEA 2015



SINGAPURA, 2 Jun (Bernama) -- Malaysia mengalami kekalahan pertama pada saingan Sukan SEA 2015 selepas tewas 5-1 kepada Vietnam pada aksi kedua kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, malam ini.

Kemenangan kedua diraih anak didik kendalian Toshiya Miura itu menyaksikan Vietnam merampas kedudukan teratas kumpulan B daripada Thailand menerusi perbezaan jaringan walaupun kedua-dua pasukan berkongsi enam mata selepas dua perlawanan.

Pada aksi malam ini, Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan, namun sepakan percuma diambil D. Saarvindran berjaya ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Phi Minh Long.

Vietnam, yang melakar kemenangan selesa 6-0 ke atas Brunei pada aksi pembukaan, Jumaat lepas, akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-11 namun jaringan Vo Huy Toan dibatalkan pengadil, Al Khudhayr Turki dari Arab Saudi kerana pemain tersebut dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.

Kesilapan pemain negara menjatuhkan pemain lawan mengundang padah apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti oleh Al Khudhayr dan Mac Hong Quan yang diamanahkan mengambil sepakan penalti berkenaan, tenang untuk menewaskan penjaga gol negara, Mohd Farhan Abu Bakar.

Gol berkenaan terus membakar semangat pemain yang berjaya menambah jaringan kedua pada masa tambahan separuh masa menerusi Nguyen Cong Phuong yang menyudahkan hantaran Ho Ngoc Thang, sekali gus menceriakan hampir 1,300 penyokong mereka yang membanjiri venue perlawanan.

Bersambung babak kedua, Vietnam meneruskan asakan dan berjaya menambah gol ketiga menerusi Huy Toan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-47 selepas Mohd Farhan menjatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.

Cong Phuong menambah derita Malaysia menerusi jaringan peribadi kedua pada minit ke-53 menerusi sepakan percuma yang berjaya menewaskan Mohd Farhan.

Pemain gantian skuad negara, Syahrul Azwari Ibrahim menghadiahkan gol saguhati Malaysia pada minit ke-78 sebelum pemain gantian, Nguyen Van Toan mengesahkan kemenangan selesa pasukan Vietnam dengan jaringan kelima, selang seminit kemudian.

Malaysia sebelum ini mengalahkan Timor Leste 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan B di venue yang sama, Sabtu lepas dan mereka dijadual berdepan Thailand yang merupakan juara bertahan pada aksi ketiga, Khamis ini.

Sementara itu, Kim Swee kecewa dengan persembahan anak buahnya terutama barisan pertahanan yang gagal memainkan peranan lebih efektif dalam menghalang serangan bertali arus oleh pasukan lawan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemainnya supaya melupakan kekalahan berkenaan dan kekal fokus bagi menghadapi perlawanan getir berdepan juara bertahan, Thailand dalam menghidupkan semula peluang Malaysia ke peringkat separuh akhir.

"Apa yang saya agak kesalkan adalah pemain kita memberikan dua sepakan penalti (yang agak mudah) kepada pasukan Vietnam yang saya anggap agak keterlaluan. Vietnam beraksi amat baik pada perlawanan malam ini," katanya.

Kim Swee turut mengakui ketiadaan perancang tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor akibat penggantungan perlawanan, turut memberi kesan kepada persembahan skuad B-23 negara itu.

Dalam pada itu, Miura memuji anak buahnya atas kemenangan besar yang dianggap mengejutkan itu memandangkan Malaysia merupakan pasukan yang agak kuat pada temasya Sukan SEA.

"Saya amat gembira dengan keputusan ini dan berharap pemain akan meneruskan momentum ini pada perlawanan seterusnya," kata jurulatih itu yang turut membimbing skuad senior negara itu.

Dalam satu lagi perlawanan, Myanmar mengalahkan Indonesia 4-2 pada aksi kumpulan A di Stadium Jalan Besar.

Daripada Mazani Mohd Yusoff -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment