Sunday, June 14, 2015

Kuasai renang, olahraga (Kunci utama jika mahu muncul juara Sukan SEA 2017)

Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) ketika menamatkan kayuhan bersama
KHAIRY JAMALUDDIN (dua dari kanan) ketika menamatkan kayuhan bersama peserta Fit Malaysia Fun Ride dalam Program Fit Malaysia peringkat negeri di Padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara(UiTM) Perlis di Arau, semalam. MINGGUAN/Muhamad Iqbal Rosli

ARAU - Malaysia perlu memberi tumpuan kepada renang dan olahraga jika berhasrat untuk muncul juara keseluruhan apabila negara ini menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, dua sukan ini menawarkan emas paling banyak dalam Sukan SEA, justeru ia boleh menyumbang kepada kejayaan kontinjen negara jika atlet Malaysia mampu mendominasi saingan.

“Kita banyak bercakap (tum­pu) terhadap bola sepak tetapi ia menyumbangkan hanya satu pingat. Walaupun ia (bola sepak) dianggap ‘ibu’ pingat namun kita juga harus memasang strategi (juara Sukan SEA 2017).

“Kedua-dua acara renang dan olahraga ini agak merunsingkan saya kerana telah dilupakan (kurang menonjol) sejak 15 tahun lalu sedangkan ia menyumbangkan banyak pingat,” katanya semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Fit Malaysia yang dihadiri lebih 10,000 orang di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Rektor UiTM Perlis, Profesor Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman.

Khairy seterusnya memberitahu, pihaknya telah memperkenalkan perancangan pembangunan baharu kedua-dua sukan itu termasuk memilih atlet terbaik untuk dihantar menjalani latihan di luar negara dalam tempoh dua tahun ini.

Malah katanya, sebahagian daripada atlet terbabit juga sudah diberi pendedahan awal dengan me­nyertai Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Kita yakin atlet-atlet ini akan mencapai prestasi kemuncak mereka pada 2017 sekali gus dapat menyumbang pingat nanti,” ujarnya.

Mengenai pencapaian atlet Sukan SEA 2015, beliau berpuas hati dengan prestasi kontinjen negara yang dianggap berada di landasan untuk memenuhi sasaran meraih 56 peratus pingat tanpa mengira warna.

“Kita yakin akan dapat mencapai sasaran di tangga keempat iaitu di atas Indonesia. Pingat emas pula kita percaya dapat melepasi pencapaian Sukan SEA 2013,” katanya.

Dalam saingan akuatik di Singapura, terjun menunjukkan persembahan cemerlang apabila menyapu bersih semua lapan emas yang ditawarkan, namun renang sekadar pulang bersama tiga emas daripada 38 acara yang dipertandingkan.

Olahraga pula mencatat keputusan terburuk dalam sejarah Sukan SEA apabila sekadar merangkul tiga emas, kesemuanya dalam acara padang menerusi Muhd. Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment