Saturday, June 13, 2015

Hoki wanita raih emas hatrik

Hoki wanita tepati ramalan raih ema
Pemain wanita negara meraikan kejayaan mereka dengan cara tersendiri sebaik sahaja perlawanan akhir hoki Sukan SEA 2015 menentang Thailand di Stadium Hoki Sengkang Singapura semalam berakhir. Malaysia menang 3-1. – UTUSAN

SINGAPURA – Malaysia menepati status sebagai pasukan pilihan dan gergasi hoki Asia Tenggara apabila merangkul pingat emas ketiga berturut-turut dalam saingan wanita selepas menumpaskan Thailand 3-1 di Stadium Hoki Sengkang, Singapura semalam.

Ini adalah kejuaraan hatrik buat anak-anak buah Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim selepas turut muncul juara dalam dua edisi terdahulu ia­itu di Korat, Thailand pada 2007 dan Nay Pyi Taw, Myanmar dua tahun lalu. Hoki tidak dipertandingkan di Laos (2009) dan Indonesia (2011).

Menurut Nasihin, biarpun pa­sukannya kelihatan seperti tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan gelaran, namun perjalanan skuad hoki wanita sebenarnya tidak mudah kerana mereka terpaksa berdepan tekanan daripada keputusan pengadil.

“Kami datang ke sini untuk membawa pulang pingat emas kami tetapi kami terpaksa bersabar dan menyesuaikan diri dengan keputusan yang berat sebelah.

“Selain itu, faktor jurulatih Thailand menjerit-jerit di tepi padang menjadikan lebih susah, namun pemain saya kekal tenang dan tidak mempedulikan semua itu.

“Bagi saya, kejayaan ini paling bermakna berbanding dua edisi terdahulu kerana saingan kali ini sengit. Kami membuktikan kami berada dalam kelas tersendiri di peringkat Asia Tenggara,” kata Nasihin.

Tiga gol pasukan negara dija­ringkan oleh Hanis Nadiah Onn pada minit ke-37, Siti Shahida Saad (45) dan Nurul Nabiha Mansur (49), yang mana kesemuanya menerusi jaringan padang.

Gol sagu hati Thailand pula dihasilkan oleh Wongkeaw Sirikwan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-51.

Sementara itu, Malaysia dijangka melengkapkan kejuaraan berganda apabila pasukan lelaki turun dalam perebutan pingat emas menentang tuan rumah, Singapura hari ini.

Pemain wanita negara meraikan kejayaan mereka dengan cara tersendiri sebaik sahaja perlawanan akhir hoki Sukan SEA 2015 menentang Thailand di Stadium Hoki Sengkang Singapura semalam berakhir. Malaysia menang 3-1.

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment