Saturday, June 13, 2015

Olahraga Lonjak Thailand Atasi Kutipan Pingat Tuan Rumah

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Hari terakhir acara olahraga yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA ke-28 menyaksikan kontinjen negara 'Gajah Putih' Thailand merampas kedudukan selaku pendahulu.

Selepas menamatkan saingan hari ini, Thailand meraih tujuh daripada 10 pingat emas yang ditawarkan dalam acara olahraga.

Mereka mengungguli acara olahraga dengan meraih 17 pingat emas, 13 perak dan sembilan gangsa secara keseluruhan.

Thailand kini berada dipuncak carta dengan mengumpul 71 pingat emas, 68 perak dan 54 gangsa, mengatasi dengan hanya satu pingat emas yang dimenangi kontinjen tuan rumah.

Kontinjen Republik itu kini mengumpul 70 emas, 62 perak dan 83 gangsa, sementara Vietnam kekal dikedudukan ketiga dengan 62 emas, 41 perak dan 50 gangsa.

Kontinjen Malaysia kekal ditempat keempat dengan 38 emas selepas menambah dua pingat emas dalam acara boling serta masing-masing satu dalam acara hoki, ski air, berbasikal dan menembak.

Malaysia setakat ini mengumpul 40 pingat perak dan 50 gangsa.

Paling menarik buat kontinjen negara pada hari kelapan temasya Sukan SEA berlangsung ialah kejayaan pelumba basikal negara, Mohd Harrif Saleh yang menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas acara berbasikal lebuh raya.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA Manila 2005 melalui Suhardi Hassan dan Noor Azian Alias.

Selain itu skuad tenpin boling negara pula berjaya mengulangi kejayaan berganda meraih pingat emas dalam acara berpasukan kategori lelaki dan wanita.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas berganda dalam acara yang sama (lima sepasukan) ialah pada edisi 2005.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment