Friday, June 12, 2015

Bidikan emas Alia Sazana






ALIA mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 25m pistol individu wanita pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam.

SINGAPURA – Penembak negara, Alia Sazana Azahari menyelamatkan maruah skuad menembak apabila menyumbangkan emas pertama pada temasya Sukan SEA 2015.

Kejayaan itu hadir selepas Alia, 23, berjaya menewaskan penembak tuan rumah, Teh Xiu Hong dengan membidik 7-1 mata pada final acara 25 meter (m) pistol perseorangan wanita di Pusat Menembak Singapura semalam.

Pingat emas itu juga merupakan satu kejutan besar kerana pada mulanya ramai yang tidak menjangka Alia mampu mara ke pentas final, apatah lagi untuk bergelar juara.

Namun, atlet Kuala Terengganu itu yang sentiasa berpegang teguh dengan pendirian ‘pantang menyerah sebelum kalah’ membuktikan bahawa dia layak digelar pembidik tepat Malaysia.

“Sewaktu pusingan kelayakan, saya banyak melakukan kesilapan tetapi saya sedar, kami mempunyai peluang berdasarkan kekuatan yang agak seimbang dalam kalangan semua peserta.

“Apabila berjaya melangkah ke final, saya mula merasai tekanan tetapi berupaya untuk mengatasinya. Saya yakin boleh menang,” katanya ketika ditemui selepas aksi final semalam.

Laungan Chilis Burger daripada semua rakan sepasukan yang tidak penat memberikan sokongan menjadi salah satu faktor Alia berjaya mengawal tekanan sekali gus menjuarai kategori tersebut.

“Saya menang burger percuma kerana ini adalah pertaruhan saya dengan kawan-kawan. Lagi pun ini adalah cara terbaik untuk mengurangkan tekanan kepada saya.

“Kebanyakan penembak kelihatan sangat tertekan. Memang ia satu persaingan yang sengit tetapi jika kita tertekan, semuanya tidak akan menjadi. Saya sendiri terkejut meraih kemenangan hari ini (semalam),” jelasnya.

Pingat gangsa dalam acara 25m pistol perseorangan wanita dimenangi penembak Vietnam, Thi Le Hoang Ngoc yang menewaskan Hirunphoem Kanyakorn dari Thailand.

Dalam acara 50m pistol individu lelaki, pingat emas menjadi milik wakil Vietnam, Hoang Xuan Vinh, Vietnam dan Auapinyakul Natphanlert dari Thailand memenangi perak.

Wakil negara, Johnathan Wong Guanjie, 22, dengan pungutan keseluruhan 165.3 mata sekadar membidik pingat gangsa acara tersebut.
 
Sumber: KOSMO
 

No comments:

Post a Comment