Friday, June 12, 2015

Rekod Baharu Sukan SEA Warnai Pencapaian Kontinjen Negara



SINGAPURA, 11 Jun (Bernama) -- Kontinjen negara menambah lima pingat emas pada hari ketujuh temasya Sukan SEA ke-28 untuk kekal di tempat keempat dalam carta pungutan pingat yang dikuasai oleh tuan rumah, Singapura.

Kontinjen negara kini mengumpul 32 emas, 33 perak dan 43 gangsa.

Tambahan pingat emas diperolehi menerusi acara menembak, olahraga, renang dan boling.

Namun kejayaan perenang berusia 18 tahun dari Kuching, Sarawak, Welson Sim mencipta rekod baharu Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas menjadi tumpuan kontinjen hari ini.

Beliau memadam rekod milik perenang senior, Daniel Bego 3:53.99s yang dicatat di Vientien pada Sukan SEA Laos 2009 dengan catatan masa 3:53.97s.

Skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara menutup aksi temasya kali ini dengan meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Laos pada perlawanan terakhir kumpulan B di Stadium Bishan.

Keputusan itu sedikit sebanyak menyelamatkan maruah skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak negara setelah gagal ke separuh akhir.

Dalam pada itu, kontinjen tuan rumah terus mendominasi carta pungutan pingat dengan 66 emas, 58 perak dan 69 gangsa dan diikuti Vietnam dengan 57 emas, 31 perak dan 50 gangsa.

Sementara Thailand masih di tempat ketiga dengan 55 emas, 62 perak dan 49 gangsa.

Sebanyak 40 pingat emas ditawarkan esok di mana olahraga yang akan menutup tirainya menawarkan 10 pingat emas.

Sumber-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment