Friday, June 12, 2015

Badminton: Wanita ke final, lelaki tumbang





 
SKUAD badminton wanita negara meraikan kejayaan mereka melangkah ke final acara berpasukan selepas menewaskan Indonesia pada pusingan separuh akhir semalam.
 
SINGAPURA – Skuad badminton wanita negara terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menewaskan Indonesia 3-1 dalam acara berpasukan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura semalam untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Dua beregu dan seorang pemain perseorangan negara yang mengutip kemenangan tersebut dipaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum mara ke perlawanan akhir untuk menentang Thailand hari ini.

Thailand menewaskan Indonesia 3-0 pada satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Pada aksi pertama, skuad negara bermula dengan langkah sumbang apabila pemain perseorangan negara, Tee Jing Yi tewas straight set kepada Lindaweni Fanetri 12-21, 10-21 dalam tempoh 37 minit.

Jing Yi dilihat kerap melakukan kesilapan sehingga menyebabkan dia ketinggalan jauh pada set pertama sambil Lindaweni selesa mendahului 11-4 dan set kedua menyaksikan dia gagal mengimbangi aksi pantas Lindaweni.

Aksi kedua pula menyaksikan gandingan Woon Khei Wei-Vivian Hoo berjaya menumpaskan Awanda Anggia Shitta-Mahadewi Istirani untuk meraih mata pertama negara, namun beregu negara itu terpaksa bermandi peluh apabila perlawanan diheret ke set penentuan sebelum menang 21-18, 19-21 dan 21-6.

Perseorangan kedua negara, Ho Yen Mei pula kembali meletakkan skuad negara di depan apabila menyumbang mata kedua hasil kemenangan 21-19, 11-21 dan 21-19 ke atas Hanna Ramadini.

Beregu kedua negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Choo yang turun menentang Andini Suci Rizky-Giovani Maretha Dea dikejutkan dengan kekalahan pada set pertama 15-21 tetapi kembali mencatat kemenangan 21-19 dan 21-13 pada dua set berikutnya untuk mengesahkan kemenangan skuad negara.

Menurut Vivian, aksi mereka ketika mengatasi pasangan Indonesia semalam lebih baik berbanding kejohanan yang disertai sebelum ini dan mereka mula menemui keserasian dengan rentak permainan masing-masing.

“Saya rasa kami terlalu ghairah untuk menamatkan perlawanan ini dengan cepat dan ia menyebabkan kami melakukan beberapa kesilapan mudah.

“Pada set ketiga kami kembali memperbaiki persembahan dan berjaya mencapai kemenangan,” Vivian.

Sementara itu, Amelia Alicia mengakui kekalahan set pertama adalah berpunca daripada perasaan gugup, namun sokongan daripada Fie Choo membuatnya kembali bangkit untuk memburu kejayaan.

“Saya rasa gugup pada set pertama sehingga menyebabkan permainan kami tidak menjadi. Pada set ke­dua kami berjaya menyesuaikan diri dan mula mendapat rentak, seterusnya berjaya memenangi perlawanan. Saya gembira kerana mampu menyumbang mata kemenangan untuk skuad negara,” ujarnya.

Dalam kategori berpasukan lelaki, skuad negara tewas 2-3 kepada Indonesia pada pusingan separuh akhir.

Sumber: KOSMO



 

No comments:

Post a Comment