Thursday, June 11, 2015

Belum masa rai emas

ESTHER (kiri) dan Li Jane memperagakan pingat emas acara beregu wanita.

“Kami tidak mahu meraikan kejayaan ini lagi kerana masih ada acara lain untuk kami ‘sapu’ pingat,” kata pemain tenpin bowling negara Esther Cheah selepas merangkul pingat emas beregu wanita bersama Sin Li Jane di Pusat Bowling Orchid, Yishun semalam.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Li Jane yang turut meraih gangsa acara individu kelmarin atas ‘ihsan’ peraturan diplomatik Sukan SEA selepas tiga peserta terbaik acara itu dikuasai peserta tuan rumah.

Selepas bermula perlahan dua permainan awal, Esther dan Li Jane mempamerkan permainan lebih bertenaga untuk mendahului peserta lain sebelum menamatkan saingan dengan mengumpul 2,651 jatuhan pin.

Mereka selesa mengatasi pencabar terdekat dari Indonesia Sharon Santoso dan Tannya Roumimper dengan kelebihan 106 jatuhan pin.

Esther yang kali terakhir memenangi emas di Korat 2007 mengakui tidak tertekan.

“Kami tidak tahu jumlah mata dikumpul sehingga diberitahu jurulatih (Holloway Cheah).

“Pada permainan terakhir kami tidak tertekan kerana mempunyai kelebihan 70-80 pin, jadi agak mustahil untuk mereka mengejar kami.

“Memang saya bermula agak perlahan jadi saya berterima kasih kepada Li Jane kerana mengekalkan momentum dari awal permainan hingga ke terakhir.

“Ini emas pertama kami selepas tujuh tahun beraksi di Sukan SEA. Sebelum ini saya menang emas di Filipina (2005) dan Korat (2007) jadi saya sangat gembira.

“Saya masih ada acara trio esok (hari ini), jadi saya harap boleh meneruskan kejayaan ini,” kata atlet berusia 29 tahun itu.

Kegembiraan itu turut dikongsi bersama Li Jane, 23, yang menanti empat tahun untuk menduduki podium pertama sejak tampil di Jakarta 2011.

“Saya sudah empat tahun menantikan emas ini. Kemenangan ini memang memberi banyak makna kepada saya. Pada 2011 saya hanya mendapat perak dan gangsa berpasukan dan individu.

“Pingat ini saya hadiahkan untuk Malaysia,” katanya.

Satu lagi pasangan Shalin Zulkifli dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang cemerlang pada dua permainan awal gagal mengekalkan rentak cemerlang apabila kemerosotan balingan Shalin dengan 181 dan 177 meleburkan impian bagi penamat 1-2.

Namun langkah cemerlang Esther dan Li Jane gagal dituruti wakil lelaki negara apabila kombinasi Jonathan Chan dan Timmy Tan hanya mendapat gangsa dengan 2,574 pin.

Muhd Rafiq Ismail yang memenangi emas individu kelmarin sekadar menduduki tangga kelima bergandingan dengan Ahmad Muaz Fishol.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment