
Penantian satu penyiksaan, namun cukup berbaloi buat atlet gimnastik
artistik negara Farah Ann Abd Hadi yang meraih pingat emas dalam acara senaman
lantai individu bagi menutup kempen penuh cemerlang di Sukan SEA.
Selepas meraih dua gangsa dalam aparatus melombol dan palang bertingkat
kelmarin, dia tidak patah semangat untuk bangkit menyempurnakan acara
kegemarannya menerusi senaman lantai dengan 13.733 markah di Kompleks Sukan
Bishan semalam.
Farah yang berharap meraih emas individu selepas membantu negara
mengungguli acara berpasukan, mengatasi pencabar Indonesia Rifda Irfanaluti
yang mencatat 13.700 mata manakala jaguh Vietnam Phan Thi Ha Thanh gangsa
dengan 13.433.
“Alhamdullilah saya berjaya juga meraih emas untuk Malaysia. Selepas
selesai melakukan persembahan tadi saya gementar untuk melihat markah peserta
lain sebab saya peserta pertama hari ini (semalam).
“Saya sangat puas hati persembahan kali ini. Memang saya mahu emas untuk
negara,” katanya.
Sebelum itu, Farah turut mencuba untuk mendapatkan emas individu acara
batang titian namun gagal selepas dia hanya menduduki tangga ketiga di belakang
pemenang dari Vietnam Phan Thi Ha Thanh dan Do Thi Van Anh.
Sementara itu ada sedikit kejutan dilakukan gimnas lelaki negara
Jeremiah Loo apabila merangkul perak acara palang tunggal individu.
Dia mencatat 14.133 mata di belakang peserta Vietnam Dinh Phnong Thanh
(14.233) dengan gangsa milik atlet tuan rumah Aizat Muhammad Jufrie (12.833).
Ini pingat pertama negara bagi lelaki di Sukan SEA ini dan juga yang
pertama sejak Manila 2005.
No comments:
Post a Comment