Thursday, June 11, 2015

Pulun Laos sebelum pulang

Pertembungan dengan Laos di Stadium Bishan hari ini hanyalah sekadar pelengkap jadual pasukan Bawah 23 (B-23) negara dalam kempen Kumpulan B, namun pengendali Datuk Ong Kim Swee menuntut anak buahnya membuktikan mereka masih boleh diharapkan untuk beraksi di Sukan SEA di Malaysia, dua tahun lagi.

Separuh daripada pemain sedia ada dalam pasukan ini masih layak beraksi pada temasya sukan edisi ke-29 namun kegagalan melayakkan diri ke separuh akhir sejak 2007, menimbulkan persoalan sama ada mereka layak untuk dikekalkan.

Selain tewas kepada Vietnam dan Thailand, persembahan hambar walaupun menang 2-0 ke atas Brunei Isnin lalu tampak tidak meyakinkan, malah Kim Swee turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya selepas perlawanan itu.

Justeru, beliau mahu anak buahnya terus fokus untuk mempamerkan permainan lebih baik, sekali gus menutup kempen dengan nota kemenangan meskipun hakikatnya mereka terpaksa pulang ke tanah air keesokan hari selepas perlawanan kelima itu.

“Saya mahu mereka ubah sikap, jangan ulangi seperti yang berlaku ketika menentang Brunei. Mereka masuk ke padang dengan sikap seolah-olah sudah menang. Sikap ini memang mengecewakan saya.

“Kami mempunyai 10 pemain yang masih layak untuk Sukan SEA akan datang dan jika terus dibentuk dan dilatih dengan perancangan lebih awal, mereka akan bersedia,” kata Kim Swee.

Dalam kempen kali ini, skuad negara disasarkan memenangi emas seperti kali terakhir di Jakarta 2011, mencatat kemenangan 1-0 ke atas Timor Leste, tewas 1-5 kepada Vietnam, 0-1 di tangan Thailand sebelum menang dengan Brunei untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment