Saturday, June 13, 2015

Aaliyah pertahan pingat emas tricks ski air

Atlet ski air negara, Aaliyah Hanifah Yoong ketika beraksi dalam
Atlet ski air negara, Aaliyah Hanifah Yoong ketika beraksi dalam acara tricks wanita akhir Sukan Sea Singapura 2015 di Bedok Reservoir di sini hari ini.

SINGAPURA – Walaupun acara ditangguh selama sejam akibat hujan, atlet muda negara Aaliyah Yoong Hanifah masih mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam Sukan SEA Indonesia empat tahun lalu dalam acara tricks ski air wanita di Bedok Re­servoir semalam.

Aaliyah, yang merupakan adik kepada bekas pelumba Formula Satu Alex Yoong, mengumpul 4,850 mata, jauh meninggalkan pemenang perak Nur Alimah Prambodo dari Indonesia yang mengutip 2,930 mata. Wakil Singa­­pura, Sabelle Kee dengan 2,620 mata meraih gangsa.

Cukup teruja mengulangi pencapaian emas, atlet berusia 11 tahun itu mengakui prestasinya dalam pusingan akhir tidak memuaskan berbanding peringkat kelayakan.

Melakukan banyak pengorbanan untuk mencapai tahap seperti hari ini dan berlatih gigih di bawah kendalian ayahnya Hanifah Yoong, dia sudah bersedia mencabar dirinya ke peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya saya boleh me­lakukan lebih baik berbanding hari ini tetapi keseluruhannya, saya masih puas hati.

“Sekian lama saya berlatih gigih dengan bapa saya untuk menghadapi Sukan SEA dan kini setelah sekian lama menceburi sukan ini, rasa telah capai tahap yang saya mahukan,” katanya.

Aaliyah pernah menjadi atlet termuda memenangi emas Sukan SEA pada 2011 selepas memenangi acara sama pada usia lapan tahun.

Adik Aaliyah, Aideen yang baru berusia lapan tahun turut mencuri tumpuan dalam acara tricks lelaki apabila memenangi pingat gangsa untuk mengecewakan abangnya, Alex.

Dia mengumpul 3,180 mata, manakala Alex di tempat kelima dengan 1,200 mata. Peserta Indonesia menggondol emas dan perak mela­lui Febrianto serta Dimas Ridho Suprihono. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment