SINGAPURA - Malaysia sudah sah akan menokok dua lagi pingat emas apabila Sukan SEA 2015 menutup tirai hari ini apabila empat wakilnya berentap sesama sendiri dalam final badminton perseorangan lelaki serta beregu wanita.
Malah, sekiranya ‘rezeki’ milik Malaysia, emas ketiga juga mampu dimiliki andai Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya menjuarai saingan beregu campuran.
Selepas dikecewakan oleh Indonesia dalam separuh akhir acara berpasukan, Chong Wei Feng dan Mohamad Arif Abdul Latif menebus kekecewaan itu dengan melangkah ke final perseorangan lelaki.
Wei Feng menyingkirkan jaguh Thailand, Tanongsak Saensomboonsu 13-21, 21-18, 21-15, manakala Arif menang 22-20, 21-15 ke atas Loh Kean Yew dari Singapura.
Kata Arif, pertemuan hari ini tetap menarik kerana dia dan Wei Feng amat mendambakan pingat emas Sukan SEA buat kali pertama.
“Sebelum ini sasaran saya hanya mahu mendapatkan pingat, tetapi selepas berjaya melangkah ke akhir saya akan berusaha meraih emas,” kata Arif.
Sementara itu, penyandang juara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan berdepan rakan sepasukan, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dalam beregu wanita.
Vivian-Khe Wei mara selepas menewaskan Anggia Shitta-Ni Ketut Mahadewi dari Indonesia, 21-12, 21-11, manakala Amelia-Fie Cho mengalahkan seorang lagi wakil negara itu, Maretha Dea Giovani-Suci Rizki Andini 21-16, 23-21.
Dalam beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying mengejutkan pasangan No. 9 dunia juga dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richii Dili 21-18, 18-21, 22-20.
Mereka kini bakal menentang satu lagi gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto dalam perlawanan akhir di Stadium Tertutup Nasional, hari ini.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment