MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) meraikan kejayaan Malaysia memungut pingat emas ke-60 selepas pasukan bola keranjang wanita negara mengalahkan pasukan Vietnam 82-50 pada Sukan Sea Singapura di OCBC Arena Singapura, semalam.
KEJAYAAN skuad bola keranjang wanita merangkul pingat emas ke-60 semalam dan kemaraan lima wakil Malaysia dalam final badminton hari ini membolehkan kontinjen negara melepasi sasaran mereka pada Sukan SEA 2015.
Majlis Sukan Negara (MSN) semalam mengumumkan, kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran 184 pingat keseluruhan yang ditetapkan di Singapura.
Biarpun pada hari kedua terakhir semalam 181 pingat dikumpul, jumlah tersebut akan meningkat kepada 186 kerana lima wakil Malaysia bakal membuat perhitungan terakhir di pentas final.
Malah jumlah 60 pingat emas yang diraih setakat ini, tidak termasuk dua yang sudah pun berada dalam genggaman (badminton perseorangan lelaki serta beregu wanita) membolehkan Sukan SEA kali ini ditutup dengan ‘Gred A’.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkiraan 184 pingat dibuat selepas mengambil kira enam acara yang terpaksa digugurkan, sekali gus menyebabkan jumlah asal 335 pingat yang menjadi perebutan atlet Malaysia berkurangan kepada 329.
Tambah Ahmad Shapawi, 56 peratus daripada 329 acara adalah menyamai 184 pingat keseluruhan berbanding sebelum ini 188 pingat dalam 335 acara.
“Antara sebab kita terpaksa menggugurkan enam acara daripada jumlah asal 335 adalah kerana dua acara yang sepatutnya disertai atlet renang Khoo Cai Lin tidak dapat disertai kerana demam, manakala tiga acara dalam pelayaran tidak dapat kita sertai kerana sebab tertentu.
“Satu lagi acara yang digugurkan adalah lompat jauh lelaki yang sepatutnya disertai Muhammad Hakimi Ismail.
“Dalam masa sama juga saya ingin memberitahu bahawa kontinjen juga telah melepasi sasaran kerja MSN pada Sukan SEA kali ini iaitu 48 pingat emas, 44 perak dan 92 gangsa,” katanya.
Pencapaian 60 pingat emas berjaya mengatasi kutipan 43 emas yang diraih pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.
Malah, apabila dua emas ditokok hari ini dan jika acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut meraih emas, bermakna Malaysia akan pulang bersama 63 emas.
Pencapaian itu mengatasi rekod cemerlang Sukan SEA di Manila pada 2005, di mana kontinjen negara meraih 61 emas, 49 perak dan 65 gangsa.
Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, pendekatan menggunakan peratusan sebagai sasaran tanpa meletakkan emas mampu membawa aspek positif buat kontinjen negara.
“Dengan menggunakan 56 peratus sebagai sasaran ia membolehkan penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan kontinjen, sekali gus dapat mengurangkan tekanan.
“Sasaran mengikut peratusan juga dibuat selepas mengambil kira pencapaian dalam tempoh lima Sukan SEA sejak 2005 hingga 2013,” ujarnya.
Selain 60 emas, Malaysia turut meraih 55 perak dan 66 gangsa.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment