Tuesday, December 24, 2013

Zolkples Kecewa Harimau Muda Gagal Ke Final


NAYPYITAW, 20 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Majis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pasukan bola sepak negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA edisi Indonesia dua tahun lepas.

Beliau berkata kegagalan itu mengecewakan kontinjen negara apabila terlepas satu pingat emas menerusi sukan nombor satu rakyat Malaysia.

"Saya memuji kesungguhan yang telah ditunjukan oleh pemain kita yang dilihat bersungguh-sungguh ketika turun menentang Indonesia semalam.

"Namun nasib tidak menyebelahi kita apabila Indonesia berjaya mengatasi Malaysia menerusi penentuan penalti, " katanya ketika ditemuai pemberita Jumaat.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal mara ke final setelah tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan berakhir.

Malaysia akan menentang Singapura esok bagi penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Indonesia akan bertemu Thailand bagi merebut pingat emas.

Zolkples berkata skuad negara berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa kedua apabila dapat menyamakan kedudukan 1-1 walaupun pemain negara berada dalam kepenatan kerana beraksi tanpa rehat.

"Pasukan Indonesia turun dengan semangat baru apabila berjaya menyingkirkan Myanmar pada aksi penutup saingan peringkat Kumpulan B sebelum itu," katanya.

Beliau berharap pemain negara mampu bangkit semula pada kejohanan berikutnya selepas ini.



Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment