Tuesday, December 24, 2013

Ahmad Amsyar Dan Tze Liang Sumbang Emas Kelima Negara Menerusi Acara Terjun


NAYPYITAW, 20 Dis (Bernama) -- Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang memastikan Malaysia terus menguasai acara terjun selepas menyumbang pingat emas kelima negara menerusi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki pada hari ketiga acara terjun Sukan SEA Myanmar.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini Jumaat, mereka mencatatkan 373.35 mata, jauh meninggalkan wakil Singapura, Timothy Lee Han dan Mark Lee Han Mi yang memungut 336.45 mata untuk memperoleh pingat perak.

Pasangan dari Indonesia, Jamjami Akhmad dan Putra Adityo Re sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 334.62 mata pada acara berkenaan yang melibatkan enam pusingan terjunan untuk setiap pasangan.

Pingat kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh.

Tze Liang yang ditemui pemberita nyata gembira dengan pingat emas peribadi kedua yang diraihnya pada temasya Sukan SEA kali ini selepas memenangi acara 3m papan anjal lelaki individu semalam.

"Agak bangga kerana dapat raih emas kedua...terjunan pada hari ini agak baik namun biasa-biasa sahaja.

"Saya harap dapat meningkatkan lagi corak terjunan saya bagi menghadapi Kejohanan Siri Terjun Grand Prix Dunia tahun depan," kata anak jati Pulau Pinang ini.

Berbeza pula dengan Ahmad Amsyar yang masih belum berpuas hati dengan markah yang diraihnya hari ini memandangkan beliau pernah mencatatkan lebih dari 400 mata pada Kejohanan Renang Dunia di Barcelona, Sepanyol, Julai lepas.

"Saya agak kecewa kerana membuat terjunan yang mengecewakan pada pusingan kelima...mujur rakan saya (Tze Liang) menampung kekurangan pada terjunan saya," kata anak jati Perlis ini.

Penuntut Universiti Malaya berkenaan yang sebelum ini bergandingan bersama bekas atlet kebangsaan, Muhammad Fakhrul Izzat, mengakui masih mencari rentak terjunan yang sesuai bersama Tze Liang memandangkan mereka baharu setahun digandingkan bersama.

"Mungkin saya perlu meningkatkan lagi latihan intensif bagi memperbaiki kualiti terjunan kerana saya akan menyertai Kejohanan Siri Terjun Grand Prix Dunia bersama Tze Liang," kata Ahmad Amsyar.




Daripada Mazani Chan yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment