Tuesday, December 24, 2013

Skuad Bola Sepak Wanita Perlu Banyak Pendedahan - Jurulatih


YANGON, 21 Dis (Bernama) -- Biarpun gagal membawa pulang sebarang pingat pada Sukan SEA Myanmar, pencapaian skuad bola sepak wanita negara yang mampu mara ke peringkat separuh akhir boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

Menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik, skuad kendalian Jacob Joseph ini mencapai sasaran yang ditetapkan.

Kehadiran mereka di Myanmar bukan lagi sebagai pasukan belasahan.

Banyak perkara yang perlu diperbaiki pada skuad ini jika mereka mahu lebih kompetitif pada masa akan datang.

Jacob berkata kekurangan pemain berkualiti adalah antara faktor skuad negara gagal mencatat keputusan lebih baik di Myanmar.

"Pada temasya kali ini, saya hanya mempunyai 14 pemain yang boleh beraksi di peringkat kompetitif, namun ada yang cedera. Pilihan pemain yang saya ada adalah terhad," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata skuad negara memerlukan lebih banyak pendedahan dan perlawanan persahabatan bagi meningkatkan prestasi.

"Seperti pasukan Vietnam, mereka pergi ke China dan Korea Selatan untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Berbanding kita, pendedahan mereka lebih banyak," katanya.

Pada perlawanan bagi penentuan tempat ketiga dan keempat semalam, skuad negara tewas 0-6 kepada tuan rumah.

Dalam saingan peringkat kumpulan, Malaysia menewaskan Laos 3-1 dan kalah kepada Thailand 1-6.

Malaysia layak ke separuh akhir selepas menduduki tempat kedua dalam kumpulan.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment