Tuesday, December 24, 2013

Skuad Taekwondo Negara Hampa Pada Hari Terakhir

NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Acara taekwondo gagal menyumbangkan pingat kepada negara pada hari terakhir di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini Sabtu.

Dua wakil Malaysia yang turun beraksi tersingkir di peringkat suku akhir, sekali gus menyaksikan skuad taekwondo negara sekadar membawa pulang satu perak dan lima gangsa pada temasya kali ini.

Dalam saingan hari ini, T. Shakila Dharshini tumpas teruk 0-17 di tangan peserta Thailand, Panipak Wongpattanakit dalam kategori bawah 46kg wanita.

Ketika ditemui pemberita, Shakila, 21, yang meraih pingat perak di Sukan Perpaduan Islam di Palembang pada September lepas dalam kategori tersebut, begitu kecewa kerana tidak menjangkakan akan tewas seteruk itu.

"Saya terkejut dengan keputusan ini. Ini penampilan kedua bertanding di peringkat luar dan pertama di Sukan SEA. Kekurangan pengalaman menyebabkan saya gagal menandingi peserta Thailand itu," katanya.

Seorang lagi atlet negara, Lai Teik Woon pula terpaksa akur kalah 0-3 kepada peserta Indonesia, Aggieseftyan Prasbowo dalam kategori bawah 54kg lelaki.

Daripada Elmi Rizal Elias
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment