Tuesday, December 24, 2013

Malaysia Capai Sasaran 40 Emas Menerusi Tze Liang-Muhammad Nazreen

NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA Myanmar apabila gandingan Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah mengungguli acara 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini, hari Sabtu.

Pencapaian cemerlang pasangan penerjun itu sekali gus memastikan penguasaan Malaysia di kolam renang apabila daripada lapan pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan, negara menyapu bersih tujuh emas setakat ini.

Dalam saingan hari ini, kedua-dua penerjun negara itu berada dalam kelas tersendiri apabila mengutip keseluruhan 386.28 mata, mengatasi pencabar terdekat pasangan dari Indonesia, Andriyan/Adityo Resto Putra yang mengumpul 327.51 mata dari enam terjunan.

Pingat gangsa milik penerjun Singapura, Lee Timothy Han Kuan/Lee Mark Han Ming yang mengutip 300.24 mata.

Ketika ditemui pemberita, Tze Liang melahirkan rasa gembira kerana dapat menyumbangkan pingat emas kepada negara walaupun mereka hanya digandingkan dalam tempoh seminggu sebelum tiba di sini.

"Kami hanya sempat menjalani latihan bersama sebanyak lima kali dan kejayaan itu sudah tentu menggembirakan saya. Lebih manis lagi, pingat emas ini adalah yang ke-40 kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nazreen berkata walaupun berjaya membawa pulang dua emas pada temasya kali ini, lebih banyak yang perlu diperbaiki terutama untuk melakukan terjunan yang sempurna.

Muhammad Nazreen berpasangan dengan Tze Liang pada temasya kali ini selepas gandingan asalnya, Muhammad Danial Sabri menghadapi masalah jangkitan kuman di telinganya dan dinasihatkan berehat di Malaysia.

Acara terjun yang akan melabuhkan tirai hari ini menyaksikan Tze Liang membawa pulang tiga emas manakala Muhammad Nazreen dua emas.

Malaysia dijangka memperoleh emas kelapan dalam acara terjun apabila gandingan Nur Dhabi Sabri/Leong Mun Yee turun beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment