Tuesday, December 24, 2013

Lee Wei Akhiri Penyertaan Dalam Acara Ping Pong Sukan SEA Dengan Merangkul Gangsa


NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Pemain ping pong veteran negara Beh Lee Wei mengakhiri penyertaannya dalam Sukan SEA ke-27 di Myanmar dengan hanya menggenggam pingat gangsa dalam acara yang melabuhkan tirainya di Stadium Wunna Theikdi C di sini hari Sabtu.

Pemain berusia 30 tahun kelahiran Kedah ini kalah 9-11, 12-14, 3-11 dan 9-11 kepada pemain Singapura, Isabelle Li Si Yun di peringkat separuh akhir.

Isabelle bagaimanapun kalah 8-11, 4-11, 6-11 dan 6-11 kepada rakan senegara Yu Mengyu di final.

Sementara dalam kategori perseorangan lelaki, pemain Singapura, Jian Zhan turut memungut emas apabila mengalahkan pemain Vietnam, Tien Dat Le.

Singapura pada Khamis menggondol emas dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Namun Lee Wei yang ditemui Bernama selepas perlawanan, melahirkan puas hati dengan permainannya di Myanmar setelah menyertai enam kejohanan Sukan SEA di Brunei pada 1999, Kuala Lumpur (2001), Vietnam (2003), Filipina (2005), Thailand (2007) dan Laos (2009).

Beliau bagaimanapun tidak menyertai kejohanan di Indonesia pada 2011 kerana mengandung.

"Saya agak berpuas hati dengan kejayaan tahun ini kerana saya baru saja pulih selepas melahirkan anak tahun lalu selain hanya berlatih kira-kira tiga minggu sebelum datang ke sini (Naypyitaw)," kata Lee Wei.

Juara kebangsaan sebanyak 13 kali ini yang turut bertindak selaku ketua jurulatih negara turut berpuas hati dengan peningkatan pemain muda seperti Ho Ying dan Muhamad Ashraf Haiqal Muhamad Rizal masing-masing dalam kategori wanita dan lelaki.

"Saya fikir mereka berdua bermain sangat baik dan boleh pergi jauh kerana masih muda. Sekiranya pemain muda diberi latihan yang betul selain didedahkan di peringkat antarabangsa, saya fikir mereka boleh mengambil alih tempat saya dan pemain veteran yang lain di masa depan," katanya.

Pasukan negara memungut tiga pingat gangsa dalam kategori berpasukan lelaki dan wanita selain perseorangan wanita.


Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment