Tuesday, December 24, 2013

Skuad Hoki Lelaki Tepati Ramalan, Raih Emas


YANGON, 21 Dis (Bernama) -- Skuad hoki lelaki negara ternyata sukar ditandingi apabila berjaya mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA ke-27, Myanmar dengan menewaskan Singapura 5-0 pada perlawanan final di Stadium Hoki Theinphyu, hari Sabtu.

Skuad bimbingan Jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai itu juga membuktikan gandingan skuad senior dan remaja pada temasya dwitahunan ini tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rekod perlawanan tanpa kalah sepanjang perlawanan berlangsung.

Turun selaku pasukan pilihan, skuad negara konsisten memberikan aksi cemerlang membuka jaringan pertama oleh Azreen Rizal Nasir menerusi gol padang pada minit ketujuh, kemudian Muhamad Azammi Adabi menambah gol kedua buat pasukan pada minit ke-19 juga menerusi jaringan padang.

Dangerouslee Mathew memberi tekanan kepada pasukan lawan dengan jaringan gol padang ketiga buat negara pada minit ke-26 dan Muhamad Azzami cemerlang dengan jaringan gol padang keempat pada minit ke-32.

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan tentangan sengit namun Ahmad Kazamirul Nasruddin melengkapkan kemenangan pasukan negara dengan pukulan penalti strok pada minit ke-63.

Pingat perak menjadi milik Singapura manakala pingat gangsa dimenangi oleh pasukan tuan rumah, Myanmar dengan menewaskan Thailand 2-0 dalam satu lagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Beng Hai ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan kesungguhan dan komitmen anak buahnya yang cemerlang mencatat kemenangan besar sepanjang perlawanan berlangsung.

"Secara keseluruhan, memang kita bangga skuad negara berjaya mencapai sasaran kita dengan raih pingat emas dan mereka juga beraksi dengan bagus.

"Perlawanan hari ini sengit buat pasukan negara. Pasukan lawan (Singapura) bermain secara berkelompok dan menyukarkan pemain negara menjaringkan gol, secara teknikal juga pasukan lawan memberikan asakan berbahaya kepada skuad negara," katanya.

Bagi pemain senior, Roslan Jamaluddin, 35, beliau berbangga dapat menyumbang pingat emas kedua buat negara selepas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

"Saya gembira di penghujung karier saya sebagai pemain hoki negara, saya masih dapat membantu skuad mempertahankan pingat emas. Saya harap generasi akan datang juga dapat meneruskan kecemerlangan sukan hoki negara di peringkat Asia Tenggara.

"Saya positif dengan karier sebagai pemain hoki. Sekiranya saya masih relevan untuk mewakili negara, saya akan teruskan, mungkin dalam masa dua tahun lagi," kata Roslan yang juga penjaga gol kebangsaan.

Turut meraih pingat emas, pasukan hoki wanita negara yang menewaskan Thailand 6-1 pada perlawanan final yang berlangsung semalam.


Daripada Nursyabiha Sukri-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment