NAYPYITAW, 20 Dis (Bernama) -- Malaysia masih ketinggalan tujuh pingat emas untuk mencapai sasaran 40 emas apabila menambah tiga emas pada Sukan SEA ke-27 Khamis.
Hanya berbaki tiga hari untuk melabuhkan tirai temasya kali ini, kontinjen negara mengumpul 33 emas, 34 perak dan 63 gangsa untuk menghuni tangga kelima dalam carta kutipan pingat daripada 11 negara peserta.
Pada saingan yang masuk hari ke-16 Khamis, Malaysia sekadar menambah tiga emas menerusi dua acara terjun dan dan satu daripada olahraga.
Pemenang gangsa Sukan Olimpik London, Pandelela Rinong Pamg dan Ooi Tze Liang memastikan penguasaan Malaysia dalam acara terjun di Pusat Akuatik Wunna Theikdi apabila menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan.
Kejayaan itu menjadikan sukan terjun, setakat ini menyumbangkan empat pingat emas kepada negara.
Atlet olahraga Mohd Jironi Riduan pula menyumbang satu lagi emas menerusi acara 1,500m selepas berkongsi kilauan emas dengan pelari Vietnam, Van Thai Duong.
Sebelum ini, Mohd Jironi menyumbang emas pertama daripada sukan olahraga dalam acara 800m, Selasa lepas.
Nasib malang menimpa skuad bawah 23 tahun negara apabila gagal mempertahankan pingat emas acara bola sepak selepas tersingkir di peringkat separuh akhir.
Malaysia tewas 4-3 kepada Indonesia menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Dalam pada itu, sukan pelayaran sudah menjanjikan dua butir emas walaupun acara itu hanya berakhir esok setelah peserta negara jauh meninggalkan pencabar mereka.
Khairulnizam Mohd Afendy mendahului acara kelas Laser Standard dan kelas International 420 melalui Mohd Faizal Norizan/Ahmad Shuki Abdul Aziz.
Pada Jumaat, acara terjun yang memasuki hari ketiga dan menawarkan dua pingat emas juga dijangka tidak menghampakan kontinjen negara.
Selain itu, skuad hoki wanita sudah pasti akan menambah koleksi kutipan emas apabila menentang Thailand pada final.
Thailand masih mendahului dalam kutipan pingat keseluruhan dengan 82 emas, 80 perak dan 66 gangsa, manakala Vietnam di tempat kedua menggumpul 64 emas, 60 perak dan 70 gangsa.
Tuan rumah, Myanmar kekal di tangga ketiga dengan mengutip 60 emas, 52 perak dan 57 gangsa.
Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment