Tuesday, December 24, 2013

Mohd Jironi Sumbang Emas Kedua Pada Penampilan Terakhir Sukan SEA


NAYPYITAW, 20 Dis (Bernama) -- Atlet olahraga negara Mohd Jironi Riduan mengakhiri misi Sukan SEA ke-27 dengan kenangan manis apabila merangkul emas kedua pada penampilan terakhirnya di Stadium Wunna Theikdi di sini Khamis.

Pelari berusia 25 tahun itu merangkul emas dalam acara 1,500m pada hari terakhir acara olahraga selepas menceriakan skuad olahraga negara dengan emas pertamanya dalam acara 800m Selasa lepas.

Atlet kelahirian Miri, Sarawak itu berkongsi emas dengan pelari Vietnam, Van Thai Duong selepas mencatatkan masa yang sama iaitu 3:58:02s.

Atlet Indonesia Ridwan mengutip gangsa dengan catatan masa 3:58:37s manakala seorang lagi atlet negara M. Kesavan sekadar menduduki tempat kelapan dengan catatan masa 4:05:90s.

Selepas larian emas itu, Mohd Jironi mengumumkan beliau tidak akan mewakili negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura bagi menumpukan kepada kerjayanya sebagai guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

"Bagi saya, ini penamat terbaik dalam penampilan terakhir saya pada Sukan SEA...Saya harap atlet remaja yang bakal menggantikan tempat saya nanti mampu mengulangi pencapaian saya pada Sukan SEA 2015," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Mengulas mengenai kejayaan dalam acara 1,500m, Mohd Jironi berkata beliau terkejut dengan keputusan itu memandangkan pelari Vietnam itu melintasi garisan penamat terlebih dahulu berdasarkan foto penamat yang dikeluarkan oleh penganjur.

"Apabila keputusan rasmi dikeluarkan, pingat emas dikongsi bersama dan ini semuanya adalah keputusan juri...Rasa sangat gembira dengan kutipan emas ini dalam membantu kedudukan pingat keseluruhan negara," katanya.

Mohd Jironi sebelum ini sekadar meraih dua perak dalam acara 800m dan 1,500m pada edisi 2009 di Laos.

Pada edisi 2011 di Indonesia, pencapaian tempat ketiganya dibatalkan dalam acara 800m kerana beliau dikatakan menolak pelari lain manakala pada 2007 di Thailand, Mohd Jironi pulang dengan tangan kosong.

Dalam pada itu, skuad olahraga negara sekadar menambah tiga perak dan dua gangsa pada hari terakhir acara itu.

Tiga perak berkenaan disumbangkan oleh Adi Alifuddin Hussin menerusi acara lontar peluru, Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) dan Muhammad Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.

Dua gangsa pula diraih oleh pelari wanita Raja Nursheena Raja Azhar dalam acara 100m lari berpagar dan kuartet lelaki 4x400m iaitu Schzuan Ahmad Rosely, Mohamad Arif Zulhilmi Alet, P. Yuvaraaj dan S. Kannanthasan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian skuad negara walaupun gagal mencapai sasaran lima emas.

Skuad olahraga negara sekadar meraih empat emas dalam acara lelaki menerusi Mohd Jironi (800m dan 1,500m), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Muhammad Irfan dalam acara lempar cakera.


Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment