Sunday, December 15, 2013

Wong Tebus Kekecewaan Sazali Dengan Pingat Emas Pada Sukan SEA Ke-27

YANGON, 15 Dis (Bernama) -- Ikon bina badan negara Wong Ngai Hoeng menutup tirai acara bina badan dengan meraih sebutir pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan SEA ke-27 di Pusat Konvensyen Myanmar di sini Ahad.

Wong, 46, berjaya mencuri tumpuan juri dengan menewaskan pemenang pingat perak dan gangsa, masing-masing iaitu Aung Swe Naing dari Myanmar dan Panupong Prateep dari Thailand bagi kategori 90kg.

Beliau juga membuat rekod baharu apabila muncul sebagai atlet negara pertama meraih pingat emas bagi acara tersebut pada temasya dwitahunan ini.

"Saya sangat teruja dapat muncul atlet bina badan Malaysia yang pertama meraih pingat emas dalam kategori 'light heavyweight' iaitu untuk badan yang bersaiz besar.

"Saya membuat persiapan selama enam bulan bagi kategori ini, sebab penganjur tidak mempertandingkan acara super heavyweight jadi saya terpaksa menurunkan berat badan dan fokus seratus peratus dalam latihan.

"Kemenangan ini juga untuk ibu saya (Ng Kim Giok, 77 tahun) atas sokongan beliau selama ini, kini kesihatannya tidak berapa baik," katanya kepada pemberita.

Semalam, seorang lagi ikon bina badan negara Sazali Samad meraih pingat perak bagi acara 70kg.

Pengurus pasukan, Abdul Halim Budin berkata beliau berpuas hati skuad bina badan mencapai sasaran satu pingat emas dan satu pingat perak pada temasya dwitahunan kali ini.

"Pada mulanya saya agak terkejut dengan kekalahan Sazali semalam, tetapi hari ini Wong berjaya membuatkan pasukan Malaysia kembali ceria," kata Abdul Halim.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment