Sunday, December 15, 2013

Muhammad Irfan Cipta Sejarah Atlet Termuda Negara Raih Emas Dalam Acara Olahraga


NAYPYITAW, 15 Dis (Bernama) -- Atlet muda negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mencipta sejarah menjadi atlet termuda negara meraih pingat emas acara olahraga Sukan SEA Myanmar yang membuka tirai di Stadium Wunna Theikdi, di sini, Ahad.

Penuntut jurusan perniagaan Universiti Malaya berusia 18 tahun itu membuat kejutan dalam acara lempar cakera dengan balingan sejauh 53.16 meter sekaligus memecahkan rekod kebangsaan terdahulu; 49.90 meter yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Brunei, baru-baru ini.

Atlet dari Thailand, Narong Benjaroon meraih pingat perak dengan balingan sejauh 52.45 meter manakala Hermanto dari Indonesia sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi balingan 51.96 meter.

Juara bertahan acara berkenaan, James Wong Tuck Yim dari Singapura sekadar menduduki tangga kelima selepas mencatatkan balingan 50.82 meter.

Muhammad Irfan yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan, tidak menyangka mampu menghadiahkan pingat emas kepada negara memandangkan beliau tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam penyertaan sulungnya pada Sukan SEA.

"Saya tidak memikirkan apa-apa kerana yang lebih penting ialah mempamerkan persembahan terbaik dan saya tidak mempunyai tekanan kerana saya tidak diletakkan dalam kedudukan untuk meraih pingat.

"Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada jurulatih, saya sendiri serta keluarga yang banyak menyokong saya selama ini namun yang lebih menggembirakan saya apabila menewaskan juara bertahan acara ini," kata Muhammad Irfan.

Turut menyuarakan sentimen sama ialah jurulatih kebangsaan bagi acara itu, Frantisek Petrovic yang berharap agar atlet itu meningkatkan balingan beliau sebelum bersaing dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang akan diadakan di Amerika Syarikat tahun depan.

"Ini satu keputusan cemerlang..beliau bukan sahaja menang tetapi juga mencipta sejarah sebagai atlet termuda (Malaysia) untuk meraih pingat emas dalam acara olahraga," kata jurulatih yang berasal dari Slovakia.

Dalam pada itu, hasrat atlet veteran negara, Lo Choong Sieng untuk meraih pingat emas dalam acara 20km jalan kaki lelaki tidak kesampaian selepas sekadar menduduki tangga kelima menerusi catatan 1 jam 38 minit dan 15 saat.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Khairil Harith Harun pula dibatalkan penyertaan disebabkan masalah teknikal.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara 20km jalan kaki wanita.


Daripada Mazani Chan Yat Sin-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment