Sunday, December 15, 2013

Skuad Karate Kekal Prestasi Terbaik Pada Hari Terakhir


NAYPYITAW, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia mengesahkan penguasaan acara karate Sukan SEA ke-27 apabila menambah satu pingat emas dan satu perak pada hari terakhir acara berkenaan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi Ahad.

Gandingan S. Shree Shavmini, A. Nisha dan K. Syakilla Salni menampilkan aksi juara apabila menundukkan trio Indonesia - Sanistya Rani Cokistriagung, Intan Nurjanah dan Indah Mogia Angkat 2-0 dalam acara kumite wanita berpasukan.

Pada saingan pertama, Nisha sekadar seri tanpa mata menentang Sanistya sebelum Shavmini mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Intan Nurjanah.

Syakilla Salni memastikan pingat emas buat Malaysia apabila menewaskan Indah Mogia dengan kiraan mata 3-1.

Ketika ditemui pemberita, Shree Shavmini yang meraih pingat emas acara individu semalam, berkata kemenangan dalam acara berpasukan lebih bermakna daripada pencapaian individu.

"Kejayaan hari ini lebih menggembirakan daripada semalam. Kami adalah sebuah pasukan (tidak kira menyertai acara individu atau berpasukan)," katanya.

Pingat gangsa acara tersebut dikongsi Vietnam dan Myanmar.

Dalam pada itu, skuad lelaki terlepas peluang menyumbangkan pingat emas apabila tumpas kepada Thailand 1-3 pada saingan akhir acara berpasukan.

Biarpun berjaya mengenepikan juara bertahan, Indonesia di peringkat separuh akhir 3-2, skuad negara gagal mengekalkan prestasi mereka di pentas akhir.

R. Sharmemdran tumpas kepada Supa Neanpuengphit 0-7 manakala Shaharudin Jamaludin kalah 3-9 kepada Theerapat Kangtong.

G. Theebaan bangkit merapatkan kedudukan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Pholwasin Saratham sebelum cabaran Malaysia berakhir setelah J. Sharma tumpas 1-9 kepada Songvut Muntaen.

Jurulatih negara, S. Mahendran, yang jelas kecewa dengan keputusan tersebut, berkata skuad negara banyak melakukan kesilapan ketika menentang peserta Thailand.

"Strategi kita sudah betul. Dua atlet berpengalaman (Sharmemdran dan Shaharudin) sepatutnya memberi mata. Apabila kita ketinggalan, ia memberi tekanan kepada peserta seterusnya," katanya.

Pasukan Vietnam dan Indonesia berkongsi pingat gangsa acara tersebut.

Acara karate yang menutup tirai hari ini menyaksikan skuad negara meraih keseluruhan tujuh pingat emas, sekali gus mengatasi tiga pingat emas yang disasarkan sebelum ini.

Daripada Elmi Rizal Elias-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment