Sunday, December 15, 2013

Christina Loh Raih Emas Kedua Peribadi Dalam Acara Renang


NAYPYITAW, 15 Dis (Bernama) -- Perenang elit negara, Christina Loh meneruskan aksi cemerlang selepas mengutip emas kedua peribadi dalam acara 200m kuak dada wanita pada Sukan SEA ke-27 di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, di sini, Ahad.

Beliau yang meraih emas pertama menerusi acara 100m kuak dada, Jumaat lepas, mencatatkan masa 2 minit 32:56 saat bagi memperbaharui rekod peribadinya, 2:33:03s yang dicatatkannya pada Sukan Perpaduan Islam di Indonesia, September lepas.

Perenang Thailand, Salubluek Chavunnooch meraih pingat perak dengan catatan 2:34:21s manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Singapura, Samantha Louisa Yeo Ginn dengan catatan 2:34:27s.

Seorang lagi perenang negara, Nadia Adrianna Redza Goh sekadar menduduki tangga kelima selepas mencatatkan 2:39:10s.

Loh, yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat, tidak menjangka akan meraih pingat emas kedua memandangkan beliau agak perlahan pada permulaan acara berkenaan.

"Saya agak terkejut dan gembira dengan kejayaan ini bagi mengambilalih tempat (bekas perenang negara, Siow Yi Ting yang mengambil keputusan untuk bersara daripada arena renang negara (sebelum ini).

"Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada jurulatih saya (Paul Birmingham), rakan sepasukan, keluarga serta Yi Ting yang banyak memberi dorongan kepada saya selama ini," kata Loh.

Beliau yang kemudian turun dalam acara 4x100 meter rampaian berganti-ganti wanita bersama Khoo Cai Lin, Erica Kong dan Yap Siew Hui sekadar meraih gangsa dengan catatan 4:17:77s.

Acara berkenaan dimenangi oleh kuartet Singapura yang mencatatkan 4:13:02s saat manakala pasukan Thailand meraih pingat perak menerusi masa 4:15:52s.

Dua perenang negara, Kevin Yeap dan Welsom Sim masing-masing menyumbangkan pingat perak dan gangsa dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.

Yeap dan Sim masing-masing mencatatkan masa 15:45:89s dan 15:57:98s.

Mazani Chan Yat Sin-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment