Sunday, December 15, 2013

Thor Sumbang Emas Pertama Negara Dari Arena Snuker


NAYPYITAW, 15 Dis (Bernama) -- Peserta snuker kebangsaan, Thor Chuan Leong bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan peserta Laos, Sithideth Sakbieng untuk meraih pingat emas dalam acara individu lelaki final (6 Balls Red) di Sukan SEA ke-27 di Stadium Tertutup Snuker dan Biliard Wunna Theikdi, Ahad.

Dua peserta tuan rumah, Win Khaing Min Aye dan Ye Zaw Htut berkongsi pingat gangsa selepas masing-masing kalah kepada Thor dan Sithideth pada aksi separuh akhir yang berlangsung pada sesi pagi.

Thor ketinggalan 1-4 pada satu ketika sebelum kembali mendapat rentak untuk mengejar lawannya dari Laos itu sebelum menang tipis 5-4.

Anak jati Pulau Pinang itu kelihatan begitu sebak sebaik sahaja mengetahui beliau menjadi penyumbang pingat emas pertama negara dalam acara snuker pada temasya kali ini.

"Saya meminta izin (daripada juri) untuk berehat sebentar selepas ketinggalan 1-4 dan selepas kembali, semua kawan-kawan dan jurulatih mengelilingi saya dengan memberitahu supaya saya tenang serta tidak fikir tentang kekalahan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Thor berkata kejayaan tersebut merupakan antara pencapaian terbaik beliau sepanjang bergelar pemain snuker dan ia sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Saya tidak boleh mengawal emosi saya selepas mencatat kemenangan dan ia disusuli dengan tangisan kerana kemenangan ini begitu bermakna buat diri saya," kata atlet berusia 25 tahun itu.

Thor sebelum itu melangkah ke final menerusi kemenangan selesa 5-0 ke atas Win Khaing.

Beliau yang bergandingan dengan Moh Kee Hoo sekadar meraih pingat gangsa dalam acara beregu lelaki (15 Balls Red) selepas kalah kepada pasangan dari Thailand pada peringkat separuh akhir, semalam.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment