Sunday, December 15, 2013

Malaysia Lepasi Separuh Sasaran 40 Pingat Emas Pada Hari Ke-12


NAYPYITAW, 16 Dis (Bernama) -- Kontinjen negara melepasi separuh daripada sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan pada Sukan SEA ke-27 di sini apabila menambah enam pingat emas Ahad.

Pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia bermula di Stadium Sukan Wunna Theikdi dalam acara olahraga yang membuka tirai Ahad, menyaksikan Muhammad Irfan Shamsuddin meraih emas acara lempar cakera.

Penuntut jurusan perniagaan Universiti Malaya berusia 18 tahun itu juga mencipta sejarah menjadi atlet termuda negara meraih pingat emas dalam acara olahraga pada temasya dwitahunan itu.

Lebih membanggakan, beliau turut membuat kejutan apabila balingannya sejauh 53.16 meter itu memecahkan rekod kebangsaan 49.90 meter yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Brunei, baru-baru ini.

Barisan atlet karate juga tidak menghampakan apabila menghadiahkan sebutir emas dalam acara kumite wanita berpasukan, menjadikan keseluruhan skuad berkenaan meraih tujuh emas acara berkenaan yang menutup tirai Ahad.

Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari turut tersenarai sebagai penyumbang emas kepada negara di samping atlet bina badan, Wong Hoeng Ngai, perenang Christina Loh Yen Ling dan atlet snuker, Thor Chuan Leong.

Dalam pada itu, atlet angkat berat wanita Frenceay Titus boleh berbangga apabila mencipta rekod baharu kebangsaan walaupun gagal meraih pingat selepas menduduki tempat keempat bagi kategori 58kg.

Angkatan bebanan seberat 82kg dalam acara snatch, memadamkan rekod 81kg yang dilakukannya pada Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012.

Selepas 12 hari temasya tersebut berlangsung, Malaysia mengutip keseluruhan 24 pingat emas, 16 perak dan 40 gangsa.

Thailand masih mendahului dalam carta kedudukan pingat keseluruhan dengan 45 emas, 41 perak dan 40 gangsa, meninggalkan Myanmar di tempat kedua selepas meraih 38 emas, 31 perak dan 35 gangsa.

Vietnam merampas kedudukan ketiga dari Indonesia apabila mengutip keseluruhan 36 emas, 32 perak dan 41 gangsa. Indonesia di tempat keempat dengan 32 emas, 47 perak dan 44 gangsa.

Dalam pada itu, skuad Harimau Muda yang dalam misi mempertahankan pingat emas sekadar seri 1-1 menentang Singapura. Malaysia akan berdepan Vietnam pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan A, Selasa ini.

Pingat emas acara recurve individu lelaki sudah berada dalam genggaman selepas dua peserta negara - Khairul Anuar Mohamad dan Atiq Bazil Bakri - akan bertarung sesama sendiri di final, Isnin.

Skuad sepak takraw negara yang sebelum ini diaibkan dalam acara berpasukan, pula akan turun menentang Thailand di pentas akhir bagi merebut pingat emas acara antara regu, Isnin.

Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA

1 comment:

  1. Terima kasih.Drpd. Mohd Rodi bin Nordin. No. 42 Lengkuk Meru Permai 3,Halaman Meru Permai, Bandar Meru Raya 30020 Ipoh.Perak. Malaysia.

    ReplyDelete