Monday, December 16, 2013

Tan Beri Tentangan Sengit Sebelum Akur Kepada Juara Bertahan


NAYPYITAW, 16 Dis (Bernama) -- Peserta biliard negara Tan Kah Tham terpaksa akur dengan kehandalan juara dua kali Ricky Yang dari Indonesia apabila kalah 9-7 pada final acara perseorangan '9 ball pool' dalam temasya Sukan SEA ke-27 di sini Isnin.

Bagaimanapun Tan tidak memberi kemenangan mudah kepada Ricky, juara edisi 2009 dan 2011, apabila memberi tentangan sengit sebelum berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa bagi acara tersebut dikongsi bersama peserta Thailand Nitiwat Kanjansari dan peserta Myanmar Aung Meo Thu.

Tan berkata beliau tidak memberi kemenangan mudah kepada Ricky apabila beliau mendahului kutipan mata demi mata pada frame kedua.

"Saya cuba mengejar beliau sehingga frame ke-11 namun beliau mula mengatasi saya pada frame ke-12 dengan kelebihan 6-5.

"Ricky mula menguasai perlawanan pada frame ke-12 dan saya gagal memintas sehingga beliau mengatasi 9-7 dengan kemenangan mutlak pada frame ke-16," katanya kepada pemberita.

Tan berkata tuah tidak menyebelahi beliau namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus memburu pingat emas pertama dalam acara perseorangan 10-ball pool esok.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk meraih pingat walaupun acara tersebut bukanlah acara kegemaran saya," katanya.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment