Monday, December 16, 2013

Malaysia Tutup Acara Renang Dengan Satu Perak


NAYPYITAW, 16 Dis (Bernama) -- Skuad renang negara mengakhir cabaran Sukan SEA ke-27 dengan mengutip satu pingat perak menerusi Daniel Bego dalam acara 200m gaya bebas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, di sini, Isnin.

Bego mencatatkan masa 1:51:10s di belakang pemenang emas Hoang Quy Phuoc dari Vietnam yang mencatatkan masa 1:50:64s manakala pingat gangsa milik perenang Singapura, Quah Zheng Wan dengan masa 1:51.66s.

Seorang lagi wakil negara, Lim Ching Hwang sekadar menghabiskan saingan di tempat keenam daripada lapan perenang dengan masa 1:54:03s.

Bego yang turun kemudian dalam acara 4x100m berganti-ganti bersama Tern Jian Han, Shaun Yap Kah Choon dan Ching Hwang sekadar menduduki tangga keempat dengan catatan 3:48:74 saat.

Kuartet Indonesia meraih pingat emas selepas mencatat masa 3:41:65s; perak dimenangi Singapura (3:43:62s) manakala kuartet Thailand berpuas hati dengan gangsa dengan catatan 3:47:94s.

Bego yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian satu emas dan tiga perak pada edisi kali ini.

Beliau meraih emas dalam acara 400m gaya bebas dan dua perak menerusi acara 4x100m dan 4x200m gaya bebas.

Mengulas mengenai saingan hari ini, Bego yang tidak beraksi pada edisi 2011 di Indonesia akibat kecederaan bahu, mengakui perenang Vietnam itu terlalu hebat untuk dicabar.

"Saya membuat kesilapan dengan membiarkan beliau berada jauh di hadapan...walaupun cuba mengejarnya, namun beliau terlalu jauh di hadapan dan dia wajar memenangi acara ini," katanya.

Sementara itu, Vernon Lee Jeau Zhi dan Erika Kong Chia Chia pula sekadar menduduki tangga keempat masing-masing dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki dan 400m rampaian individu wanita dengan catatan masa 2:05:51s dan 5:03:44s.

Secara keseluruhannya, Malaysia meraih empat emas, empat perak dan tiga gangsa, sekali gus melepasi sasaran tiga emas oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Christina Loh muncul perenang terbaik negara selepas meraih dua emas dalam acara 100m dan 200 meter kuak dada.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment