Tuesday, December 17, 2013

Pasukan Recurve Lelaki Bukti Mereka Tetap Berbisa


NAYPYITAW, 17 Dis (Bernama) -- Walaupun pasukan recurve lelaki negara dibarisi dua pemanah baru iaitu Atiq Bazil Bakri dan Hafiq Kamaruddin, mereka tetap mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya mengungguli acara tersebut bersama bantuan pemanah senior negara, Khairul Anuar Mohamad.

Pasukan recurve lelaki negara berjaya mempertahankan pingat emas yang diraih pada Sukan SEA edisi Indonesia 2011 apabila mengatasi pasukan Thailand dengan kemenangan 214-212 panahan pada aksi final yang berlangsung di Lapangan Memanah Wunna Theik dekat sini.

Trio Thailand dibarisi oleh Witthaya Tahm Wong, Khomkrit Duangsuwan dan Denchai Thepna, manakala pingat gangsa bagi acara itu milik Riau Ega Agata Salsabilla, Alex Edwar dan Johan Prasetyo Ade Wibowa yang mewakili Indonesia.

Khairul Anuar berkata beliau dan rakan-rakan sepasukan gembira dengan kejayaan tersebut dan mereka menghadiahkan kemenangan itu kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak memberi semangat dan sokongan kepada kontinjen negara.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Khairul berkata Thailand telah memberi tentangan hebat apabila cuba untuk mengejar namun pasukanya mampu mengawal perlawanan sehingga ke minit akhir.

"Pasukan Thailand cuba kejar mata pada set ketiga dan keempat namun kita tidak memberi peluang untuk mereka untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Khairul Anuar berkata beliau berpuas hati dengan persembahanya dan rakan-rakan apabila berjaya melakukan persembahan terbaik seperti yang dilakukan pada sesi latihan sebelum ini.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan kejayaan meraih dua pingat emas, Khairul Anuar berkata walaupun terlepas satu pingat emas menerusi acara recurve beregu campuran semalam beliau tetap bersyukur kerana berjaya menyumbang pingat emas terakhir secara peribadi hari ini.

"Sebelum ini sasaran peribadi saya adalah untuk meraih tiga pingat emas namun gagal apabila hanya menduduki tempat keempat dalam acara recurve beregu campuran semalam...namun saya redha dengan keputusan tersebut," katanya.

Semalam, pemanah berusia 22 tahun itu meraih pingat emas pertama menerusi acara recurve individu lelaki selepas mengalahkan rakan senegara Atiq Bazil Bakri dengan kemenangan 7-1.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Hamid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment