Thursday, December 5, 2013

Sukan SEA: Skuad Wushu Negara Yakin Raih Sekurang-kurangnya Tiga Pingat Emas


NAYPYITAW (Myanmar), 4 Dis (Bernama) -- Skuad wushu negara tidak berani meletakkan sasaran tinggi pada temasya Sukan SEA ke-27 di sini sebaliknya hanya sekadar ingin mengulangi pencapaian tiga pingat emas yang diraih pada Sukan SEA edisi Indonesia 2010.

Jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong berkata beliau tidak berani untuk meletakkan sandaran lebih besar walaupun pasukannya dibarisi empat juara dunia iaitu Ho Mun Hua, Phoo Eyin, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen.

"Dulu saya masih ingat lagi ketika di Indonesia kita hanya meletakkan sasaran dua pingat emas namun masih berjaya membawa pulang tiga pingat emas.

"Kali ini saya letakkan tiga pingat emas dan harap kita mampu dapat lebih daripada itu," katanya kepada pemberita ketika sesi latihan skuad wushu negara di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A.

Yoong memberi jaminan mereka mampu membawa pulang sekurang-kurangnya tiga butir pingat emas pada kali ini.

"Jika berjaya meraih lebih dari tiga pingat emas ianya adalah satu bonus bagi kita semua dan menunjukkan bahawa skuad wushu negara semakin kuat," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis dengan kemampuan lima anak didiknya yang diletakkan sebagai 'ayam tambatan' dalam misi memburu pingat emas pada edisi kali ini.

"Saya tidak meletakkan sandaran pingat khusus kepada individu tertentu sahaja sebaliknya memberi keyakinan kepada semua atlet yang dipilih untuk mewakili negara kali ini termasuk atlet pelapis yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Yoong berkata antara atlet wushu negara yang mempunyai potensi besar bagi menyumbang pingat emas ialah Ho Mun Hua yang beraksi dalam acara Nan Gun lelaki, Loh Jack Chang (Taijiquan Lelaki), Chan Yu Fi (Chanquan wanita), Diana Bong Siong Lin (Nanquan wanita) dan Tai Cheau Xuen (Nan Gun Wanita).

Acara wushu yang akan membuka tirai pada Sabtu ini dijangka menjadi penyumbang pingat emas ke-1,000 negara sepanjang penyertaan pertama Malaysia pada temasya itu sejak 1959.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment