Thursday, December 5, 2013

Joseline Harap Tuah Di Myanmar Raih Pingat Emas

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Selepas tiga kali gagal menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA lepas, penembak wanita elit kebangsaan Joseline Cheah berharap tuah akan berpihak kepadanya pada temasya di Myanmar yang membuka tirai secara rasmi 11 Dis ini.

Atlet berusia 30 tahun itu berazam menebus kekecewaannya di Myanmar selepas bidikannya pada Sukan SEA 2005 di Filipina, 2009 (Laos) dan 2011 di Indonesia, 'tersasar' untuk membawa pulang pingat emas.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu akan mengambil bahagian dalam acara 10m Air Pistol dan 25m Pistol.

"Prestasi saya tahun ini lebih cemerlang, saya membuat rekod baharu dengan meraih pingat perak pada Kejohanan Menembak Siri Dunia di Munich, Jerman bagi acara 10m Air Pistol dengan jumlah 388 mata.

"Saya yakin jika dapat mempamerkan prestasi sama di Myanmar, saya boleh meraih pingat emas pertama Sukan SEA sepanjang 13 tahun terlibat dalam sukan menembak," katanya kepada pemberita di Lapang Sasar Menembak Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Rabu.

Joseline berkata cabaran paling utama pada temasya itu ialah dirinya sendiri dalam usaha menampilkan prestasi yang konsisten.

"Terus terang saya tidak tahu bagaimana prestasi atlet negara lain, saya terlalu sibuk dengan diri saya (persiapan Sukan SEA)," katanya.

Pengurus pasukan menembak negara ke Sukan SEA, Datuk Sabiamad Abdul Ahad berkata skuad menembak menyenarai 14 penembak dengan meletakkan sasaran meraih satu pingat emas.

"Kita hantar ramai atlet muda...atlet elit ada lapan orang. Sasaran kita bukan Sukan SEA tetapi peringkat yang lebih tinggi iaitu Sukan Olimpik," kata bekas penembak negara yang beraksi di Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment