Thursday, December 5, 2013

Sukan SEA Ujian Awal Atlet Muda, Sebelum Sertai Temasya Lebih Berprestij

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Sukan SEA ke-27 yang bakal membuka tirai secara rasmi pada 11 Dis ini, menjadi platform terbaik kepada atlet muda sebelum beraksi dalam temasya sukan berstatus tinggi pada masa depan, kata Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Myanmar Datuk Amiruddin Embi.

Beliau berkata atlet muda perlu menggunakan peluang dengan sebaik mungkin beraksi di Myanmar bagi menimba pengalaman sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun depan serta Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Kali ini (Sukan SEA Myanmar), kita bawa banyak atlet muda. Kita mahu lihat tahap prestasi mereka terutama untuk menghadapi dua temasya penting, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.

"Kita kena lihat dari segi perkembangan atlet muda, sasaran pingat emas memang keutamaan kita, tetapi kita juga ada misi lain untuk memastikan prestasi atlet muda ini meningkat kerana mereka adalah masa depan kecemerlangan sukan negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir atlet kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini Rabu.

Dalam lawatan itu, Amiruddin memantau persediaan skuad menembak, karate dan taekwondo.

Kontinjen negara merangkumi 556 atlet menyertai 29 daripada 33 acara dan 242 pegawai.

Sukan SEA berlangsung dari 11 hingga 22 Dis di Naypyitaw, Yangon, Mandalay dan Ngwe Saung.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment