Thursday, December 5, 2013

Skuad Chinlone Negara Sumbang Dua Gangsa Hari Pertama Sukan SEA


NAYPYITAW (Myanmar), 4 Dis (Bernama) -- Skuad Chinlone negara berjaya menyumbang dua pingat gangsa pada hari pertama temasya Sukan SEA ke-27 yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi C, dekat sini Rabu.

Pingat pertama negara diraih pasukan lelaki dalam acara Chinlobe tahap tiga.

Malaysia yang mengumpul 246 mata berkongsi tempat ketiga bersama-sama Laos yang meraih 344 mata.

Sementara pingat emas acara itu menjadi milik pasukan tuan rumah Myanmar dengan 660 mata mengatasi Thailand yang meraih pingat perak dengan perbezaan 256 mata.

Sebutir lagi pingat gangsa negara disumbang oleh skuad wanita dalam acara tahap tiga, berkongsi tempat dengan Kemboja setelah masing-masing mengumpul 128 mata dan 157 mata.

Pingat emas acara itu turut menjadi milik Myanmar yang mengutip 534 mata mengatasi Thailand yang memenangi pingat perak dengan perbezaan 169 mata.

Jurulatih skuad Chinlone lelaki negara, Nurudin Pawi berkata walaupun anak didiknya turun hanya berbekalkan latihan kurang daripada dua bulan mereka tetap berjaya menunjukan persembahan terbaik hari ini.

"Saya rasa bangga dengan mereka kerana masih mampu menyumbang pingat walaupun hanya menjalani latihan kurang daripada dua bulan," katanya kepada pemberita di sini.

Dengan kejayaan tersebut Nurudin meletakkan keyakinan bahawa skuad bimbingannya mampu meraih sebutir lagi pingat gangsa menerusi acara tahap dua Chinlone lelaki esok.

"Saya juga yakin kita mampu meraih pingat perak dalam acara tahap satu lelaki memandangkan Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut," katanya.

Atlet Chinlone negara, Mohammad Azlan Alias berkata beliau rasa bersyukur kerana berjaya meraih pingat pertama untuk diri sendiri dan juga menyumbang pingat pertama negara hari ini.

"Ini adalah kali pertama saya beraksi di temasya Sukan SEA dan mungkin juga Chinlone adalah jodoh saya setelah gagal terpilih untuk mewakili negara dalam acara sukan sepak takraw," katanya.

Azlan, 18, dari Perak berkata sekiranya masih diberi peluang, beliau ingin mewakili negara ke Sukan SEA edisi ke-28 di Singapura dua tahun lagi.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment