Tuesday, December 24, 2013

Skuad Takraw Terus Tampil Aksi Longlai

NAYPYITAW, 19 Dis (Bernama) -- Skuad sepak takraw terus menampilkan aksi longlai apabila tunduk kepada Laos dalam acara double berpasukan lelaki Sukan SEA Myanmar di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini Khamis.

Pasukan negara yang dibarisi majoriti pemain muda kalah 2-1, sekali gus menduduki tangga tercorot dalam kumpulan B.

Malaysia sebelum ini, sudah pun tersingkir dalam pemburuan pingat acara berkenaan selepas kalah 3-0 kepada Myanmar dan 2-1 kepada Indonesia, Rabu.

Dalam saingan hari ini, skuad bimbingan Jamaluddin Hassan bermula garang apabila regu pertama, Ahmad Aizat Mohd Nur Azmi dan Izurin Refin menewaskan pasangan Laos, Sitthiphoumma Chaleunphone-Phommavongsa Vixay 21-16, 21-13.

Namun, kebangkitan yang diharapkan bertukar aksi hampa apabila gandingan Mohd Hanafiah Dolah-Farhan Adam kalah 21-17, 21-19 kepada Sanavongxay Davoy-Kounlasouth Chakkaphanh.

Skuad Malaysia terus dirundung malang apabila pasangan Mohd Muqlis Borhan-Amirul Zazwan Amir tewas kepada Khounmuangsene Alounsack-Hatlavongsa Moneta 21-19, 16-21 dan 21-17.

Bagaimanapun Jamaluddin berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu kerana acara double kurang diberi perhatian sebelum ini.

"Kalau dilihat prestasi pemain negara berbanding pasukan lain, kita seimbang dalam acara double. Cuma, lebih perhatian perlu diberikan dalam acara ini pada masa akan datang kerana mereka mempunyai potensi," katanya.


Daripada Elmi Rizal Elias
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment