Tuesday, December 24, 2013

Gavin Sumbang Perak Dalam Acara Golf


NAYPYITAW, 19 Dis (Bernama) -- Pemain amatur utama negara, Gavin Kyle Green terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas gagal mengatasi pemain Thailand, Danthai Doonma, dalam saingan 'sudden death' acara golf pada Sukan SEA ke-27 di Kelab Golf Diraja Myanmar di sini Rabu.

Selepas empat pusingan, kedua-dua pemain itu terikat dengan jumlah 278 pukulan untuk muncul pendahulu bersama sebelum penentuan pingat dilakukan menerusi pukulan kalah mati.

Pemain Thailand itu berjaya melakukan pukulan birdie pada percubaan pertama untuk merangkul emas manakala Gavin melakukan pukulan par.

"Saya beri persembahan terbaik hari ini tetapi beliau (Danthai) terlalu handal pada pusingan akhir dan saya patut memberi pujian kepadanya," kata Gavin yang mencatatkan empat bawah par 68 hari ini.

Dalam saingan berpasukan lelaki, skuad negara yang dianggotai Gavin, Mohd Wafiyuddin Abdul Manaf, Muhammad Wafiyuddin Abdul Manaf, Low Khai Jei dan Abel Tam Kwang Yuan sekadar meraih pingat gangsa selepas mencatatkan jumlah terkumpul empat pusingan sebanyak 848 pukulan.

Pingat emas menjadi milik Thailand yang mencatatkan 838 pukulan manakala tuan rumah, Myanmar meraih perak dengan catatan 846 pukulan.

Dalam kategori wanita, Michelle Koh menjadi pemain terbaik negara dengan menduduki tempat kelima dengan catatan 219 pukulan dalam saingan tiga pusingan.

Rakan sepasukan Nur Durriyah Damian menduduki tempat ke-10 dengan 227 pukulan manakala Vivienne Chin meraih tempat ke-14 dengan 230 pukulan.


Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment