Tuesday, December 24, 2013

Retak Tulang Tangan Kanan Tidak Halang Abdul Hemi Raih Gangsa


NAYPYITAW, 18 Dis (Bernama) -- Biarpun mengalami retak tulang pada tangan kanan, Abdul Hemi Mohd masih mampu menghadiahkan pingat gangsa kepada negara pada hari pertama acara taekwondo pada Sukan SEA ke-27 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini Rabu.

Atlet berusia 29 tahun dari Pelabuhan Klang, Selangor, berdepan mimpi ngeri itu selepas terkena tendangan peserta Filipina, Samuel Thomas Harper Morrison pada aksi separuh akhir kategori bawah 74kg.

Peserta Malaysia itu mengalami kecederaan ketika ketinggalan 6-10 dan walaupun mengalami kesakitan, beliau tetap meneruskan pertarungan sehingga tamat.

Abdul Hemi yang meraih gangsa selepas tewas di separuh akhir, kemudian dikejarkan ke hospital.

Jurulatih negara, Moi Chee Keong memuji semangat juang yang dipamerkan Abdul Hemi walaupun tewas 17-8 kepada Samuel.

"Ini Sukan SEA pertama beliau (Abdul Hemi), namun dia langsung tidak menunjukkan rasa gementar," katanya.

Pingat emas acara berkenaan milik On Peerathep Sila dari Thailand manakala Samuel meraih perak. Pingat gangsa turut dikongsi Duong Thanh Tam dari Vietnam.

Malaysia turut meraih dua gangsa dalam acara lelaki individu dan berpasukan poomsae.

Peserta muda negara berusia 18 tahun, Yong Jin Kun berkongsi gangsa dengan peserta Vietnam, Anh Minh Le dalam acara individu.

Peserta tuan rumah, Thaw Zin Han yang mengumpul 8.400 mata meraih emas manakala Vidal Marvin Gabriel dari Filipina yang mengutip 8.035 mata untuk meraih perak.

Jin Kun meraih gangsa kedua dalam acara berpasukan selepas berpasangan dengan Choo Hong Kai dan Kok Jun Ee dengan mengutip 7.400 mata untuk berkongsi gangsa dengan trio Thailand, Chaiyasit Kwanboon, Pongporn Suvittayaara dan Poonpattara Bunlop.

Peserta Filipina, Gabriel yang bergandingan dengan adik-beradik Mella, Dustin Jacob dan Raphael Enrico meraih emas selepas mengutip 7.920 mata sementara gandingan Indonesia dibarisi Maulana Haidir, Muhamad Fazza Fitracahyant dan Muhammad Abdurrahman Wahyu meraih perak dengan 7.590 mata.


Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment