Tuesday, December 24, 2013

Skuad Taekwondo Sekadar Tambah Satu Gangsa


NAYPYITAW, 19 Dis (Bernama) -- Malaysia sekadar menambah satu pingat gangsa dalam acara taekwondo pada hari kedua acara itu di Sukan SEA ke-27 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, di sini Khamis.

Selepas mendapat 'bye' di suku akhir, Jenny Fong Mee Soh gagal menyaingi peserta Vietnam, Nguyen Thanh Hien apabila tumpas 6-0 di peringkat separuh akhir untuk sekadar meraih gangsa dalam kategori wanita bawah 67kg.

Ketua jurulatih negara, Moi Chee Keong berkata Jenny gagal menterjemahkan arahan yang diberi dengan menggunakan kaki kirinya ketika mengasak peserta Vietnam itu.

"Dalam acara sukan tempur, atlet kena cepat belajar teknik yang sesuai ketika berdepan lawan. Jenny kelihatan gementar, mungkin ini kali pertama beliau beraksi di Sukan SEA.

"Jenny masih dengan teknik lamanya menggunakan tangan. Kelemahan ini perlu diperbaiki apabila pulang ke tanah air kerana kita mempunyai tugasan lebih besar tahun depan, Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2016," katanya.

Dalam saingan akhir, Cassandra Haller dari Thailand menumpaskan Thanh Hien untuk meraih pingat emas. Peserta Vietnam itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa acara berkenaan turut dikongsi peserta tuan rumah, Ywet Wah Htun.

Seorang lagi atlet negara, P. Thinagaran Naidu tersingkir di suku akhir selepas tewas tipis 5-4 kepada peserta tuan rumah, Zaw Zaw dalam kategori lelaki bawah 68kg.

Dalam pada itu, Chee Keong berharap Ryan Chong yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London menjadi sandaran utama negara untuk melakar kejutan apabila turun beraksi dalam kategori bawah 63kg pada Jumaat.


Daripada Elmi Rizal DElias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment