Tuesday, December 24, 2013

Atlet Pelapis Menembak Menyerlah Di Sukan SEA


YANGON, 19 Dis (Bernama) -- Penampilan beberapa penembak muda dalam skuad negara di Sukan SEA ke-27 bukan sekadar 'penumpang' sebaliknya mereka turut membantu negara dalam kutipan pingat.

Pencapaian membanggakan penembak pelapis, Eddy Chew, 18, melakar kejutan dengan meraih emas acara 50m pistol individu lelaki, membuktikan bahawa skuad negara boleh bergantung kepada mereka pada temasya akan datang.

Secara keseluruhan skuad menembak membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Eddy turut menyumbang pingat perak 10m Air Pistol individu lelaki. Dua lagi pingat perak diraih oleh gandingan Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Wahidah Ismail (10m Air Pistol berpasukan wanita) dan Siti Nur Masitah Badrin (25m Sport Pistol Individu wanita).

Empat pingat gangsa diraih oleh trio acara 50m rifle berpasukan wanita (Nur Suryani Taibi, Muslifah Zulkifli, Wahidah Ismail), 50m pistol berpasukan lelaki (Eddy Chew, Jonathan Wong, Abdul Malek), 50m pistol individu lelaki (Jonathan Wong) dan 10m air pistol berpasukan lelaki (Eddy Chew, Johnathan Wong dan Choo Wen Yan).

Pengurus pasukan, Datuk Sabiamad Abdul Ahad berkata atlet menembak negara perlu tingkatan kekuatan fizikal dan mental mereka untuk beraksi dengan lebih konsisten.

"Saya yakin atlet muda kita boleh pergi jauh, beri mereka lebih banyak pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa supaya mereka tidak gementar apabila beraksi dalam kejohanan seperti Sukan SEA," katanya yang juga bekas atlet menembak Olimpik negara.

Selepas ini fokus skuad menembak ialah Sukan Asia di Incheon Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada tahun depan.


Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment