Tuesday, December 24, 2013

Penerjun Negara Di Kelas Tersendiri, Raih Dua Lagi Emas

NAYPYITAW, 19 Dis (Bernama) -- Penerjun negara berada dalam kelas tersendiri dalam acara terjun Sukan SEA ke-27 apabila menyapu bersih dua pingat emas pada hari kedua acara itu di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini Khamis.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik London 2012, Pandelela Rinong Pamg dan Ooi Tze Liang memastikan dominasi Malaysia setelah mengungguli acara masing-masing.

Pandelela tidak menghadapi masalah mengetepikan lima peserta lain termasuk rakan senegara, Loh Zhiayi untuk meraih pingat emas acara 10m platform wanita selepas mengutip 346.60 mata.

Zhiayi memastikan penguasaan Malaysia dalam acara itu apabila meraih perak setelah mengutip 292.10 mata manakala pingat gangsa milik penerjun tuan rumah, Saw Hla Nandar yang mengumpul 233.15 mata.

Ketika ditemui pemberita, Pandelela berkata walaupun sudah mengecap kejayaan di peringkat Sukan Olimpik, beliau akan tetap menyertai Sukan SEA demi untuk kontinjen negara.

"Saya bangga dapat mewakili Malaysia di Sukan SEA dan saya suka mengambil bahagian pada Sukan SEA," katanya.

Pandelela berkata sebelum turun beraksi, beliau tidak memikirkan mengenai statusnya sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik sebaliknya, fokusnya adalah untuk membuat terjunan yang sempurna.

"Sebelum ini, saya berasa sedikit sakit di belakang kerana air di kolam ini terlalu sejuk dan mandian air panas pun tidak panas. Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini sebaliknya membuat terjunan yang baik," katanya.

Terdahulu, Tze Liang menebus kekecewaannya semalam apabila sekadar meraih perak, apabila mengungguli acara 3m papan anjal lelaki setelah mengutip 431.90 mata.

Rakan senegara, Chew Yi Wei meraih gangsa selepas menggumpul 314.20 mata. Pingat perak acara berkenaan milik penerjun Singapura, Lee Mark Han Mi yang mengutip 324.15 mata.

Tze Liang berkata beliau gembira dapat meraih pingat emas dan fokusnya selepas ini adalah mempersiapkan diri menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, kedua-duanya tahun depan.

"Semalam, saya tidak dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan kolam di sini tetapi hari ini saya lebih relaks," katanya.

Pencapaian dua emas hari ini, sekali gus memastikan penguasaan Malaysia dalam acara berkenaan setelah Cheong Jun Hoong dan Muhammad Nazreen Abdullah meraih dua emas, Rabu.


Daripada Elmi Rizal Elias
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment