Monday, December 16, 2013

Skuad Sepak Takraw Sekadar Pingat Perak


NAYPYITAW, 16 Dis (Bernama) -- Barisan pemain negara gagal menyaingi kehebatan pemain Thailand apabila tumpas mudah dalam acara akhir antara regu lelaki Sukan SEA Myanmar di sini Isnin.

Beraksi di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, skuad negara yang dibarisi Izurin Refin, Mohd Hanafiah Dolah dan Mohd Muqlis Borhan kelihatan goyah terutama pada set kedua.

Skuad negara bermula baik pada set pertama namun belum cukup untuk menandingi regu Thailand yang terdiri Pattarapong Yupadee, Pornchai Kaokaew dan Siriwat Sakha apabila tewas 16-21.

Trio negara terus menampilkan aksi menghampakan pada set kedua apabila kalah 8-21 untuk sekadar meraih pingat perak.

Bagaimanapun, sedikit pujian terhadap anak buah Jamaluddin Hassan itu ialah pencapaian pingat perak itu memperbaiki pingat gangsa yang dimenangi Malaysia pada Sukan SEA 2011 di Indonesia dalam acara berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Muqlis yang bertindak sebagai ketua pasukan, ternyata kecewa dengan prestasi mereka terutama pada set kedua kerana gagal mengekalkan rentak permainan seperti pada babak pertama.

"Pemain Thailand pun tidak bermain dengan baik hari ini. Cuma, kita gagal mengawal bola dengan baik terutama daripada servis pasukan lawan yang memberi kelebihan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Izurin yang bermain sebagai tekong, mengakui prestasi mereka memang mengecewakan kerana strategi yang dirancang tidak menjadi.

"Saya tidak gementar tetapi apabila servis tidak membantu bagi mendapatkan mata ia menyebabkan saya hilang fokus terutama pada set kedua," katanya.

Sementara itu, pasukan Myanmar dan Laos berkongsi pingat gangsa selepas masing-masing tewas di separuh akhir, semalam.

Skuad negara akan meneruskan cabaran dalam acara 'double' berpasukan bermula esok dan 'double' pada Jumaat ini.




Daripada Elmi Rizal Alias
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment