Khairul Anuar Hadiahkan Pingat Emas Kepada Ibu
NAYPIYTAW, 16 Dis (Bernama) --  Kegusarannya 
terhadap bencana banjir yang menimpa keluarga di kampung, tidak 
menghalang pemanah elit negara Khairul Anuar Mohamad meraih pingat emas 
pertama peribadinya di Sukan SEA ke-27 Isnin.
 Anak jati Kemaman, Terengganu itu meraih emas bagi acara recurve 
individu lelaki selepas mengetepikan cabaran atlet senegara Atiq Bazil 
Bakri dengan 7-1 dalam aksi final di Lapangan Memanah Wunna Theik, dekat
 sini.
 Pingat gangsa bagi acara itu dimenangi oleh pemanah Thailand, Witthaya Than Nong.
 Mengulas kemenangannya kepada pemberita, Khairul Anuar, 22, berkata 
beliau menghadiahkan pingat emas itu kepada ibunya Kelsom Dollah, yang 
sedang mengalami kepayahan selepas rumah mereka di Kampung Batu 10, 
Pasir Gajah, Kemaman, dilanda banjir.
 "Saya risau dengan keadaan ibu saya apabila terputus hubungan beberapa 
hari lepas namun saya rasa sedikit lega apabila dapat menghubungi mereka
 kembali.
 "Hingga kini saya tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada 
pertandingan kerana risau dengan keadaan mereka (keluarga) di Malaysia 
namun saya akan cuba lakukan yang terbaik di sini," katanya.
 Pemanah Olimpik negara itu berkata beliau akan berusaha memastikan 
sasaran peribadinya iaitu tiga pingat emas dapat direalisasikan.
 "Saya harap mampu mencapai sasaran peribadi dua lagi pingat emas 
menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan recurve beregu campuran," 
katanya.
 Beliau turut memuji Atiq Bazil yang mempamerkan prestasi cemerlang 
kerana berupaya memberi cabaran kepadanya sekalipun masih berstatus 
junior.
 "Bagi saya kejayaan Atiq Bazil mara ke pusingan akhir adalah satu pencapaian yang baik dan beliau mampu pergi jauh lagi.
 "Saya teringat ketika pertama kali menyertai Sukan SEA di Indonesia dua tahun lepas juga mara ke final," katanya.
 Sementara itu skuad pemanah wanita negara menyumbang sebutir pingat 
gangsa menerusi Saritha Cham Nong melalui acara compound individu.
 Pingat emas bagi acara itu menjadi milik Aung Ngeain dari Myanmar dan 
pingat perak pula dimenangi pemanah Indonesia Dellie Threesyadinda.
 -- BERNAMA
 
 
 
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment